CURI CAP JARI ISTERI SEDANG TIDUR UNTUK KEBENARAN POLIGAMI



TELUK INTAN: Ada suami yang mahu berpoligami, tetapi takut untuk berterus terang dengan isteri, sanggup menggunakan taktik mencuri cap ibu jari tangan isteri yang tidur.
Perkara itu ditimbulkan pada Seminar Kesedaran Hak dan Perundangan anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan Perak, Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Malaysia dan Lembaga Kebajikan Perempuan lslam Hilir Perak di dewan kuliah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, di sini, kelmarin.
Seorang isteri yang menyertai seminar itu berkata, suaminya bersusah payah mendapatkan cap ibu jarinya ketika dia tidur beberapa bulan lalu dalam usahanya untuk berkahwin dua.
Menurutnya, tindakan pelik suaminya itu bagaimanapun disedari sebelum suaminya mengaku mahu berkahwin lagi dengan seorang gadis. Lantaran, wanita berkenaan bertanya kepada panel seminar itu sama ada cap jari tangan isteri satu keperluan atau syarat wajib untuk lelaki berpoligami.
Menjawab persoalan itu, peguam syarie, Saiful Adli Mohd Arshad berkata, tidak ada prosedur di mahkamah syariah yang mewajibkan suami mengambil cap jari tangan isteri.
“Mendapatkan cap jari tangan isteri salah faham yang mungkin berlaku selepas suami menonton filem ‘Madu Tiga’ lakonan P Ramlee. “Sebenarnya suami yang ingin berpoligami perlu membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mendapat kelulusan. Pihak mahkamah akan memanggil semua isteri lelaki berkenaan untuk mendapat persetujuan,” katanya
Menurutnya, jika seorang lelaki sudah mempunyai tiga isteri, namun semua isterinya tidak bersetuju dia berpoligami lagi, mahkamah syariah mempunyai kuasa sama ada memberi kebenaran atau menolak permohonan lelaki itu.
Menurutnya, kebenaran hanya diberi selepas hakim mendapati lelaki itu mempunyai kemampuan memberi nafkah zahir dan batin, mempunyai kedudukan kewangan stabil serta berlaku adil kepada semua isterinya.
“Mahkamah juga memanggil bakal isteri baru bersama walinya untuk diambil keterangan bagi memastikan kesahihan. Jika didapati memuaskan baru pihak mahkamah memberi kelulusan berpoligami,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat menasihati pasangan suami isteri terutama golongan muda yang mahu bercerai berjumpa dengan pegawai kaunseling untuk mendapat khidmat nasihat dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kalau ada peguam bersikap negatif terus menjatuhkan cerai kepada pasangan yang mahu berpisah, itu bukan seorang peguam yang baik sebaliknya hanya mahu mendapatkan keuntungan,” katanya.

kredit: mummynemo

1 comments:

Unknown said...

hahahha... pengaruh citer p ramlee.. zmn dulu2 boleh aa. zmn skrg semua dunia dihujung jari... berapa lama jer en suami leh menipu...

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story