DEMI CANTIK, DIANA RAFAR SANGGUP BERABIS


Kadangkala Diana turut-turun padang bagi membantu stafnya di spa
Wanita dan kecantikan memang begitu sinonim. Pelbagai cara dilakukan untuk tampil cantik termasuklah mengamalkan suntikan seperti vitamin C, kolagen dan botoks. Namun dalam sibuk menjaga kecantikan ada antara kita yang mungkin terlupa akan petua-petua tradisional yang juga boleh diamalkan untuk tampil cantik.
Seperti wanita lain, pelakon Diana Rafar juga begitu mementingkan kecantikan bukan hanya kecantikan luaran sahaja, malah dalamannya juga perlu dititikberatkan.
Ternyata kesibukannya bergelar selebriti di samping menguruskan rumah tangga langsung tidak menjadi penyebab untuk dirinya alpa kepada penjagaan kecantikan.
Bagi selebriti ini, setiap yang berkaitan dengan kecantikan pasti tidak akan dilepaskan meskipun dia harus melaburkan wang yang banyak untuk mendapatkannya.
Tidak lokek berkongsi rahsia kecantikan yang selama ini diamalkan, pemilik nama sebenar Adiana Rafar ini mengaku begitu gemar menghabiskan masa di spa.
Menurutnya, amalan itu sudah dilakukan sejak sebelum kahwin lagi memandangkan keluarganya sebelum ini pernah terlibat dengan perniagaan spa.
“Seingat Diana, ketika usia seawal 14 tahun lagi Diana sudah biasakan diri ke spa. Selain disebabkan kakak-kakak Diana sebelum ini pernah membuka perniagaan spa, Diana juga turut kerap ke spa orang lain bagi mendapatkan pengalaman yang berlainan di setiap spa mereka.
“Boleh dikatakan, pantang sahaja ada masa terluang pasti Diana akan meluangkan masa di sana,” katanya yang akan berkunjung ke spa sebanyak dua atau tiga kali dalam seminggu.
Siapa sangka, amalan yang mula dipupuk sejak zaman remaja itu masih lagi berterusan sehingga kini biarpun telah bergelar isteri kepada pelakon, Zamarul Hisham dan ibu kepada putera sulungnya, Kashfi Haikal yang berusia dua tahun enam bulan.
Malah menurut pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini, dia tidak betah sekiranya dalam sebulan tidak menjejak kaki ke spa walaupun ketika itu dia sedang bercuti.
“Bayangkan, walaupun sedang bercuti di negara orang, namun perkara pertama yang Diana akan fikirkan adalah spa. Biasanya, setiap kali ke luar negara seperti di Indonesia, London atau ke mana sahaja, pasti Diana akan meninjau lokasi spa yang terdapat di sana.
“Selain boleh merehatkan minda dan badan, Diana juga suka merasai teknik urutan yang berlainan di setiap spa,” katanya yang begitu gemarkan suasana dan persekitaran yang terdapat di dalam spa.
Dorong buka spa sendiri
Tanpa diduga, kecintaannya yang mendalam terhadap dunia spa membuka peluang untuknya bergelar usahawan muda.
Didorong atas dasar minat, selebriti ini sanggup menghadiri kursus kecantikan bagi mendapatkan sijil khusus untuk mempelajari khidmat yang ditawarkan di spa seperti facial, mengurut dan berbekam.
Dengan pengalaman yang ditimba, Diana yakin untuk melangkah setapak ke dalam bidang perniagaan dengan membuka D’Lugano Spa yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.
Mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menyiapkan dekorasi dalaman spa miliknya itu, Diana berbangga pada usia mudanya yang ketika itu 26 tahun, dia sudah pun memiliki ruang perniagaan sendiri yang sehingga kini masih lagi kekal beroperasi.
Menurutnya, nama D’Lugano diambil sebagai simbolik kepada sebuah tasik yang terdapat di Switzerland yang juga membawa maksud indah dan tenang.
“Di sini (D’Lugano Spa), Diana gabungkan tiga unsur air, batu dan kayu bagi menghasilkan dekorasi dalaman yang nyaman dan indah buat pelanggan yang datang.
“Bagi Diana sendiri yang gemar berkunjung ke spa, hiasan dalaman selain perkhidmatan yang disediakan merupakan aspek penting yang perlu dititikberatkan bagi ‘menggoda’ pelanggan terus berkunjung ke sini,” katanya yang menyediakan inspirasi gaya Bali di spa miliknya itu.
Spa milik pelakon filem Susuk ini turut menawarkan khidmat rawatan kecantikan dan kesihatan dari hujung rambut sampai hujung kaki dengan harga yang berpatutan.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan di D’Lugano Spa adalah rawatan tubuh, muka, refleksologi dan juga bekam.
Mengulas mengenai amalan bekam, Diana berkata, teknik yang ditawarkan itu boleh mengecilkan wajah seseorang di samping membantu menghilangkan resdung dan jerawat.
Rawatan yang sering dipilih oleh selebriti ini sewaktu ke spa adalah rawatan lulur. Menurut Diana, dia pasti akan mengamalkan rawatan lulur badan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
“Diana gemar melakukan rawatan lulur sewaktu berkunjung ke spa bagi menghilangkan daki pada badan sekali gus mengelakkan badan rasa tidak selesa.
“Selain itu, Diana juga suka mandi bunga kerana ia dapat memberi ketenangan serta menyuntik aura seseorang kerana warnanya yang pelbagai,” katanya lagi.
Selain sibuk memanjakan diri di spa, pelantun lagu Hak Milik Kekal ini juga sebenarnya mengamalkan rutin makan ramuan tradisional berupa jamu.
Menurut Diana, amalan makan jamu telah diterapkan sejak usianya 14 tahun lagi sebagai menjaga kecantikan dalaman pada tubuh.
“Emak Diana memang sudah terapkan kami adik-beradik supaya mengamalkan jamu bagi menjaga kecantikan dalaman. Bukan sahaja luaran yang dipentingkan, seharusnya dalaman juga perlu dititikberatkan bagi menambah lebih keyakinan pada diri.
“Diana mula cuba makan jamu apabila secara kebetulan kakak Diana, Aliza membuka salun dan menjual Jamu Dara Semula. Ketika itu umur Diana 14 tahun, maklumlah baru sahaja baligh jadi hormon pun berubah di mana jerawat sudah mula tumbuh.
“Apabila Diana cuba makan jamu Dara Semula, nyata terdapat perubahan, jerawat semakin hilang dan wajah juga lebih segar. Sejak daripada itu, Diana terus mengamalkan makan jamu ini,” katanya sambil memberitahu itu merupakan langkah mudah untuk menjaga kesihatan.

Selain sibuk menguruskan spa, anak bongsu daripada enam beradik ini juga kini semakin sibuk menjalankan perniagaan pelaburan emas.
Sebagai ejen menjual emas 999, Diana melihat pelaburannya dalam emas mampu mendatangkan hasil yang lumayan.
“Sebelum ini jika kita lihat ramai yang mengetahui akan harga emas yang sentiasa meningkat. Namun, tidak ramai yang mengambil peluang untuk membuat pelaburan. Kebaikan emas sudah diketahui, tetapi ramai yang masih belum mahu membuka mata akan keuntungan yang boleh kita dapati sekiranya melakukan pelaburan emas.
“Setelah dua tahun menceburi bidang ini, Diana semakin selesa dan ingin berkongsi rezeki ini dengan orang lain. Diana ingin ubah persepsi masyarakat Melayu yang hanya menjadikan emas sebagai perhiasan diri semata-mata. Sebenarnya, kita boleh dapat lebih keuntungan dengan membuat pelaburan,” katanya yang menjadi ejen Serambi Emas.
Menurut Diana lagi, perniagaan yang dilakukan ini bukanlah seperti sistem jualan langsung, sebaliknya ia merupakan pelaburan jangka panjang.
Sesiapa yang berminat menceburi perniagaan ini bolehlah menghubungi Diana menerusi talian 012-9500465.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story