Mungkin ramai yang tidak mengenali nama Nuremy Ramli dalam dunia lakonan memandangkan pelakon wanita itu masih lagi sedang membina nama dalam industri hiburan tanah air.
Kalau melihat wajahnya yang sekarang ini kerap menghiasi pentas drama dan filem, pasti ramai mengecam wajahnya berbanding namanya.
Belum pun namanya kukuh berdiri dalam dunia seni atau pun menjadi pelakon yang popular, Nuremy mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari terus berlakon. Kenapa?
Ketika ini, pelakon wanita itu sudah pun berhijrah dari penampilan yang sebelum-belum ini.
Sebelum ini, ramai artis wanita yang mengambil keputusan untuk berhijab atau bertudung. Antaranya seperti Enot, Yat Hamzah, Abby Abadi, Natsha Hudson. Kini, Nuremy juga mengikut jejak langkah yang sama.
Keputusan mengundurkan diri dari dunia lakonan sejajar dengan perubahan dirinya yang sudah pun bertudung.
Bukan itu sahaja, rezekinya yang tidak terbuka luas juga selepas berhijrah juga menyebabkan wanita itu tekad dengan keputusannya. Kata Nuremy, dia bukanlah merajuk.
Semuanya hanyalah kerana agama dan menjaga kebaikan dirinya.
“Selepas bertudung, saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon. Andai kata peluang saya dalam bidang ini sudah tertutup, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya sanggup tinggalkan dunia lakonan, demi agama dan kebaikan diri sendiri.
“Paling penting, perubahan ini memberikan ketenangan jiwa dan minda kepada saya. Ia sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kalau tidak berlakon lagi nanti, mungkin saya akan bantu uruskan perniagaan keluarga. Doakan yang terbaik,” katanya seperti dalam Gua.com.
Menceritakan ketika mendapat hidayah untuk memakai tudung, Nuremy menceritakan dia bermimpikan tentang arwah ayahnya di mana mimpi itu sukar untuk ditafsirkan.
“Dalam mimpi-mimpi itu, arwah ayah hanya memandang kepada saya tanpa melemparkan senyuman. Sedangkan hubungan kami sangat rapat. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa maksud mimpi tersebut.
“Akhirnya saya buat kesimpulan bahawa ayah mahu saya lakukan sesuatu. Setelah beberapa lama berasa tidak sedap hati dan berkira-kira hendak menutup aurat, saya akhirkan nekad untuk berubah. Syukur keputusan ini membuatkan saya berasa lebih tenang dan selesa,” katanya.
Nuremy bakal muncul dalam filem terbaru, ‘Hanya Aku Cinta Kau Seorang’ (HACKS).
Jujur Nuremy mengakui malu dan segan dengan penampilan dirinya dalam filem tersebut.
Bagaimanapun, dia menegaskan lakonan dan pemakaian bajunya dalam filem itu dibuat sebelum dia mengenakan tudung.
Justeru itu, dia tidak mahu ramai pihak tersalah anggap dengan personaliti dirinya.
“Ketika menonton filem itu tadi (Isnin), memanglah saya berasa agak malu kerana penampilan saya sekarang ini tidak sama seperti dahulu. Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya kurang selesa dengan pakaian yang disediakan oleh pihak produksi ketika itu. Ini kerana ketika penggambaran HACKS bermula, saya sudah memasang niat untuk memakai tudung.
“Bagaimanapun, ketidakselesaan itu tidak diluahkan kerana saya tidak mahu menyusahkan pihak lain. Sebaliknya, saya akur dengan kehendak pengarah dan cuba lakukan yang terbaik. Sebagai pelakon, saya tidak mahu mengecewakan pengarah dan penerbit yang percaya dengan kemampuan lakonan saya,” kata Nuremy.
0 comments:
Post a Comment