KUALA LUMPUR : Lumrah setiap wanita ketika sedang mengandung, pastinya akan berasa terharu dan sebak kerana dapat melihat bayi yang dikandung bergerak-gerak di dalam perut ketika proses imbasan (scan) dilakukan.
Begitu juga yang dialami oleh pelakon yang juga adik kepada Haliza Misbun, Amanda Misbun memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan rezeki oleh Ilahi untuk bergelar ibu.
Menerusi portal Murai.com, Amanda berasa sebak kerana tidak percaya bayi dalam kandungannya sudah pun membesar dan cukup fizikalnya.
Malah, dia juga seakan tidak percaya yang dia sedang mengandung kerana merasakan baru sahaja mendirikan rumah tangga.
“Teruja dan rasa bagai hendak menitiskan air mata pun ada apabila dapat melihat sendiri fizikal anak yang saya kandung dalam perut ini. Malah rasa bagai mimpi dan tidak percaya pula yang bayi itu kini sudah membesar di dalam kandungan saya.
“Tambahan pula saya turut merasakan ia berlaku seperti begitu pantas kerana rasa macam baru sekejap sahaja saya mendirikan rumah tangga tetapi saya sangat gembira dengan kehidupan yang saya lalui sekarang,” kata Amanda.
Ketika menjalani proses scan baru-baru ini, Amanda bersyukur kerana bayinya berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Doktor juga meramalkan dia dan suaminya bakal menimang cahaya mata perempuan melalui kaedah pengesanan tersebut.
“Alhamdulilah, bayi saya sihat dan normal. Cuma, doktor masih samar dengan jantina bayi itu dan daripada apa yang dia lihat, doktor hanya boleh meramalkan bayi saya perempuan kerana ketika scan di tempat alat sulitnya, dia sedang mengepitkan kakinya.
“Apa yang menggembirakan saya dia bergerak agak aktif juga kerana sempat melambai-lambai ketika sedang melalui mesin pengimbas,” katanya.
Ketika ini, Amanda telah pun berehat dari menerima sebarang tawaran berlakon memandangkan ingin menjaga kandungannya dengan baik.
Amanda banyak menghabiskan masanya di rumah selain menjalankan tugasnya sebagai isteri dan gembira dapat menjalani puasa di bulan Ramadhan ini dengan suami di sisinya. – MyNewsHub
0 comments:
Post a Comment