HIKMAH PENCIPTAAN SYAITAN



Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):

"Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia sudah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari Syurga". (Al A'raaf, 7:27).

Mengapa Allah S.W.T menciptakan syaitan?
Apakah syaitan ada dan diciptakan untuk menyerang manusia?

Syaikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya'rawi menjawab;

"Jika tidak ada sesuatu yang mendorongmu untuk bermaksiat, maka ketaatan menjadi sesuatu yang biasa, ketaatan menjadi sesuatu yang luar biasa dan besar kerana ada yang mengusik dan menggoda untuk melakukan maksiat, lalu godaan itu ditolak dengan berkata tegas, "TIDAK!"

Jadi, adanya syaitan adalah untuk meningkatkan suhu dalam menjalankan perintah dan mengimbangi keadaan penghambaan diri kepada Allah S.W.T. dengan sesuatu yang berasal dari ciptaan Allah S.W.T.

Jika tidak ada syaitan, maka ketaatan akan menjadi sebuah budaya yang membosankan. Kita, umat islam, mungkin tidak pernah berfikir untuk makan daging babi. Namun pencegahan diri kita untuk tidak memakan daging babi ini sering timbul kerana tradisi dan rutin, bukan kerana kesedaran akan rasa takut dan penghambaan kepada Allah S.W.T.

Pencegahan diri kerana kesedaran inilah yang diinginkan Allah S.W.T., bukan kerana pengaruh tradisi dan rutin.

Dengan kata lain, penghambaan yang sesungguhnya menescayakan adanya provokasi yang kuat untuk menempuh jalan kesesatan lalu kita berhasil menolak dan mencegah diri untuk tidak terpesona, mengenal pasti sikap permusuhan syaitan terhadap anak manusia.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):

"Hai Adam, Sesesungguhnya ini adalah musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari Syurga, yang menyebabkan kamu menjadi celaka."(Thaahaa, 20 : 117).

Jadi, inilah pangkal taklif yang dibebankan kepada kita hingga hari kiamat, iaitu: perintah, larangan, dan peringatan diri akan permusuhan syaitan kepada manusia.

Imam Muda Nazrul

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story