PKPB: Solat Jumaat di zon hijau

Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


KERAJAAN membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang 8 Mei lalu sebelum dipersembahkan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

Namun, katanya, buat masa ini hanya jemaah lelaki dibenarkan terlebih dulu menunaikan solat berjemaah berkenaan.

"Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei memutuskan bersetuju menerima titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

"Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam tempoh PKPB boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei (esok).

"Bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang. "Keputusan ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan saya dengan perdana menteri pada 12 Mei lalu," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Katanya, pihak masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan.

"Saya juga sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.

"Ahli jawatan kuasa masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih perlu memastikan SOP MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:32 PM

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story