Tragisnya..


Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang ketika dipercayai berjalan dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu kemudian disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan ketika bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya yang dibawa dari Hospital Muadzam Shah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang, semalam.

"Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

"Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi lokasi sekatan jalan raya (SJR) dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.

"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya. Namun, dia berkeras untuk berjalan pulang sejak Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

SKUAD Pengurusan Jenazah Malaysia berbincang sebelum menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, hari ini. FOTO ihsan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.
SKUAD Pengurusan Jenazah Malaysia berbincang sebelum menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, hari ini. FOTO ihsan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.

Rafie berkata, waris lelaki itu ada meminta pihak berkuasa mengesan kedudukan arwah selepas gagal dihubungi kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.

"Menurut kakak arwah yang menghubungi kami, arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun terkejut dengan khabar berita kematian adiknya itu, dia dan keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai waris arwah tidak mampu untuk menanggung kos pengebumian sebanyak RM1,500.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, mereka membantu urusan pengebumian arwah termasuk membeli keranda serta menempah kubur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengendalian jenazah pesakit Covid-19.

Katanya, ia termasuk kaedah tayamum untuk solat jenazah dengan jenazah dibalut dua lapisan plastik, tiga lapisan kain dan dua kali proses sanitasi dilakukan sepanjang urusan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, hari ini.

"Sepanjang tiga jam urusan pengebumian itu, kami perlu memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi mengelak jangkitan Covid-19.

"Cuaca agak panas ketika proses pengebumian itu dan kami perlu mengambus tanah secara bergilir-gilir selepas jenazah dimasukkan ke liang lahad.

"Sepanjang tempoh itu, ada beberapa kali saya seperti mahu pitam kerana terlalu lemas berada dalam keadaan itu dengan peluh mencurah-curah membasahi pakaian kami.

"Sedangkan kami hanya memakai PPE dalam tempoh tiga jam sudah merasa sebegitu, apatah lagi petugas barisan hadapan. Tidak dapat saya bayangkan betapa hebatnya mereka memakai pakaian berkenaan seharian," katanya.

Beliau berkata, pengurusan jenazah arwah berkenaan adalah bantuan kali kedua dihulurkan pihaknya bagi membantu urusan pengebumian pesakit Covid-19 selepas seorang pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebelum ini.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kematian ke-110 (kes ke-6,743) adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

Katanya, ujian sampel Covid-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020 dan kes di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin manakala punca jangkitan belum dikenalpasti serta masih dalam siasatan.


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story