Maya Karin Dilihat Mesra Dengan VIP Bergelar Datuk


PETALING JAYA: Aktres jelita Maya Karin menolak dakwaan terbaru kononnya dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang tokoh korporat berstatus Datuk.
Terbaru, bintang filem Ombak Rindu ini dilihat seolah-olah mempunyai hubungan mesra dengan individu yang merupakan cucu kepada ahli perniagaan ternama pada sebuah majlis makan malam dekat sini, malam Rabu lalu.
Gambar Maya bersma ahli perniagaan berusia sekitar 40-an itu dirakamkan oleh jurufoto M. Azhar Arif.
Mengulas mengenai gosip itu, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 33, mengaku menghadiri majlis tersebut bersama lelaki berkenaan tetapi tidak mempunyai hubungan istimewa seperti didakwa.
“Benar saya menghadiri majlis makan malam itu dan duduk semeja dengan beliau tetapi saya hadir atas jemputan sebagai tetamu syarikatnya dan tiada apa-apa yang istimewa antara kami.
“Kalau hendak tahu, saya kerap berurusan dengan syarikat tersebut dalam projek-projek tertentu seperti kempen alam sekitar dan beberapa lagi. Hubungan kami memang baik sejak tiga hingga empat tahun lalu, sebab itu saya di undang sebagai tetamu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Khamis.
Maya berkata gosip itu adalah tidak berasas kerana dia masih solo sehingga hari ini sejak bercerai dengan bekas suami Muhammad Ali Abdullah atau Steven David Shorthose pada 16 Julai 2010.
“Sehingga hari ini saya masih solo dan belum temui pengganti. Tiada apa yang hendak dirahsiakan jika saya sudah ada teman baru.
“Saya mahu menikmati kehidupan solo ini sepuas-puasnya dan melakukan perkara-perkara yang saya suka seperti mengembara tanpa ada sekatan,” katanya.
Beralih pada perkembangan kerjaya, Maya yang ditemui pada pelancaran filem terbarunya berjudul Jwanita, baru-baru ini berkata, dia sangat teruja untuk menggalas watak wanita psiko dalam filem arahan Osman Ali itu.
“Saya teruja dengan tawaran baru dalam filem Jwanita kerana ramai yang sering bertanya bila saya akan membawakan antagonis. Selama ini, saya sudah mencuba watak puntianak, wanita penggoda dan gadis tomboi.
“Watak wanita psiko ini mencabar kemampuan emosi dan fizikal saya tetapi saya tidak mahu buat sebarang rujukan pada watak atau filem lain kerana bimbang akan terikut-ikut atau meniru watak yang sedia ada itu.
“Saya mahu terjemahkan karakter itu dengan pemahaman dan imaginasi sendiri,” katanya.
Filem terbitan Nuansa Sdn Bhd dan Ehsan Production Sdn Bhd itu menyaksikan gandingan kali keempat Maya dan Osman Ali selepas filem Anak Halal, Cun dan Ombak Rindu.
Selain Maya, filem genre suspens dan ngeri itu turut dibintangi antaranya Bront Palarae, Cristina Suzanne dan Marsha Milan Londoh.
Ia bakal memulakan penggambaran pada 30 Jun ini di sekitar Kuala Lumpur dan Terengganu selama 30 hari dengan kos sebanyak RM1.5 juta.
sumber: mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story