KUALA LUMPUR: Kerinduan penyanyi dan pelakon Safura Ya’cob (Safura) terhadap Allahyarham anak ketiganya Nur Aisyah Mariam terubat apabila anak itu muncul dalam mimpinya pada hari pertama Ramadan.
Safura, 39, berkata, emosinya semakin stabil dan pulih dengan kehilangan itu selepas 10 bulan pemergian anaknya yang meninggal dunia pada 12 September tahun lalu.
“Alhamdulillah, keadaan emosi saya semakin stabil selepas 10 bulan Mariam meninggalkan kami sekeluarga. Saya mendapat kekuatan itu dengan berfikir bahawa Mariam lebih tenang dan sejahtera di sana.
“Namun, kerinduan itu sentiasa ada sehinggakan pada 1 Ramadan lalu, Mariam dan arwah bapa saya muncul dalam mimpi. Saya jadi sedih juga apabila terjaga,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia pada usia 3 tahun kerana demam berpanjangan pada 12 September tahun lalu adalah anak pertama penyanyi itu dengan pelakon Sahronizam Noor.
Selain Allahyarham, Safura turut mempunyai dua lagi anak bersama Sahronizam iaitu Yusoff Firdaus, setahun setengah, dan Zara Nur Aisyah, tujuh bulan.
Mengenai perkembangan terbaru, Safura berkata, kematian anaknya itu membuatkan dia masih tawar hati untuk kembali berlakon pada waktu ini.
“Hati saya masih belum terbuka untuk berlakon semula. Minat pada menyanyi itu masih ada kerana ia adalah minat utama sejak dulu.
“Saya rasa berat hati hendak berlakon kerana memikirkan sukar untuk tinggalkan anak-anak. Kini, hari-hari saya terisi dengan menguruskan anak-anak selain menziarahi kubur Mariam,” katanya.
Ditanya mengenai perniagaan kek lapis yang diusahakannya, penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu ini berkata, dia hanya mensasarkan untuk menerima tempahan kira-kira 200 biji kek sahaja kerana komitmen masa.
“Alhamdulillah, tempahan daripada ornag ramai sangat meriah. Saya sampai tidak cukup tangan untuk memenuhi tempahan orang.
“Memandangkan saya juga sibuk dengan keluarga dan anak-anak, cukuplah kalau saya terima 200 tempahan sahaja. Itu pun sudah memadai,” katanya.
Hasil perkahwinan terdahulu, Safura turut mempunyai dua anak iaitu Nurul Natasha, 17, dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.
0 comments:
Post a Comment