KADS1M Bukan Untuk Bermewah


KADS1M Bukan Untuk Bermewah
BANGI – Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang menerima Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diingatkan supaya tidak bermewah-mewah dan menggunakan kemudahan itu dengan sebaiknya.
Menurut beliau, dengan adanya KADS1M, golongan berkenaan akan mendapat faedah sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“KADS1M bukan kad yang menawarkan mata ganjaran, sebaliknya untuk mendapatkan diskaun semasa transaksi pembelian.
“Mereka hanya perlu tunjukkan kad berkenaan bersama kad pelajar atau kad pengenalan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud pada majlis penyerahan KADS1M di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di sini, semalam.
Menurutnya, pelajar harus menggunakan kad tersebut sebaik-baiknya demi kebaikan.
“Gunakan ia untuk mendapat pulangan setimpal dengan pelaburan yang dilakukan. Ini supaya setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan hasil yang diharapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menekankan aspek kerjaya sebagai guru bukanlah pilihan akhir dengan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025).
“Ini bertujuan bukan sahaja memastikan pencapaian pendidikan dalam kalangan pelajar tetapi untuk mengembalikan kegemilangan kerjaya guru yang merupakan insan penting membentuk generasi masa depan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan untuk pimpinan IPGM melakukan penambahbaikan secara berterusan.
“Ia merangkumi sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan, kemudahan prasarana dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan mewujudkan satu persekitaran kerja yang kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya.
Menurut beliau lagi, perkara itu perlu dilihat supaya matlamat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik mampu dicapai. – SinarHarian

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story