Lima Lelaki Termasuk Pemilik Kedai Besi Buruk Ditahan Samun Kilang Tembaga

Gambar Hiasan 

SHAH ALAM - Polis menahan lima lelaki, termasuk dua pemilik kedai besi buruk, yang dipercayai terbabit dalam kejadian menyamun 13 kotak tembaga bernilai RM500,000 di sebuah kilang di Jalan Sungai Tua, Batu Caves pada 11 Oktober lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga daripada suspek itu ditahan di Jalan Kebun, Seksyen 36 di sini manakala dua lelaki pemilik kedai besi buruk terbabit masing-masing ditahan di kedai mereka di Kampung Batu Muda dan Salak Selatan, New Village di Kuala Lumpur.
  
"Kesemua suspek  yang berumur antara 22 dan 47 tahun itu ditahan secara berasingan dalam operasi pada Jumaat dan Sabtu lepas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
  
Beliau berkata polis turut menemui semula satu tan tembaga disamun tetapi telah dipotong bernilai RM100,000 dari simpanan seorang suspek itu.
  
Mohd Adnan berkata polis menerima laporan berhubung kes itu pada kira-kira 6 pagi Khamis lepas daripada pengarah eksekutif kilang berkenaan yang mendakwa antara tujuh dan lapan lelaki bersenjatakan parang menyamun dan melarikan tembaga dari premis itu.
Dua pengawal keselamatan kilang itu turut diserang kumpulan suspek terbabit sebelum mengikat dan mencederakan seorang daripada mangsa.
  
Mohd Adnan berkata polis telah mengambil pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
  
Semua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu ditahan reman sehingga 19 Oktoer ini untuk siasatan lanjut.
  
Dalam kes lain, Mohd Adnan berkata polis menahan dua lelaki dan merampas satu senjata untuk menembak ikan, senapang tiruan buatan sendiri
serta 27 biji guli yang dijadikan peluru.
  
Beliau berkata lelaki berumur 29 dan 31 tahun itu yang masing-masing bekerja sebagai operator kilang dan pengawal keselamatan, ditahan reman sehingga 17 Oktober dan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960.
  
Dalam kejadian kira-kira  3 pagi semalam, seorang  Inspektor polis yang dalam perjalanan untuk melakukan siasatan, bertembung dengan dua suspek di Jalan Rawang, Putra 7, di Rawang.
  
Pegawai itu mendapati seorang daripada suspek sedang memegang satu objek seperti senapang dan merampasnya sebelum menahan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk siasatan lanjut. - Bernama

Sumber: 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story