ASNB Umum 6.80 sen Bagi Amanah Saham Didik

ASNB Umum 6.80 sen Bagi Amanah Saham Didik

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional (ASNB), unit milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.80 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2013.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan pendapatan itu meningkat 0.20 sen berbanding 6.60 sen seunit yang dibayar pada tahun sebelumnya.
“Agihan pendapatan berkenaan akan melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM307.36 juta, kenaikan sebanyak 11 peratus daripada tahun lalu yang berjumlah RM276.92 juta,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Agihan itu akan memberi manfaat 340,947 pemegang unit yang secara kolektif memiliki 4.5 bilion unit ASD.
ASD adalah dana pertumbuhan ekuiti berharga tetap bagi menyediakan peluang pelaburan yang boleh menjana pertumbuhan jangka panjang dan pulangan kompetitif kepada pemegang unit.
Sehingga 12 Jun, dana pendapatan kasar ASD pada RM400.61 juta dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM223.51 juta (55.79 peratus) kepada jumlah pendapatan.
Pendapatan dividen daripada syarikat penerima pelaburan menyumbang RM123.84 juta (30.91 peratus) dan baki RM53.26 juta (13.30 peratus) daripada instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.
Ahmad Sarji berkata, melalui strategi pelaburan berhemat, unit amanah ASD menjana pulangan yang memuaskan walaupun dalam persekitaran pelaburan yang mencabar.
“Kadar agihan pendapatan berpatutan terutamanya pada masa kini yang mencabar,” katanya.
Pengiraan agihan pendapatan berdasarkan kepada purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan ASD dan akan secara automatik dilaburkan semula dalam bentuk unit dan dikredit ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai.
Semua transaksi ASD, di pejabat dan ejen ASNB, akan digantung mulai 25 Jun hingga 30 Jun untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan itu dan pemegang unit boleh mengemaskini akaun mereka pada 1 Julai.
Penyata agihan pendapatan dan laporan tahunan dana akan dihantar kepada pemegang unit mulai pertengahan Ogos.
Bagi pemegang unit yang melanggan ASD melalui Skim Pelaburan Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agihan pendapatan akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun KWSP mereka.
ASD sesuai untuk pelabur yang mahukan pelan kewangan bagi menyediakan keperluan kewangan masa depan bagi perbelanjaan pendidikan untuk mereka dan keluarga mereka. – BERNAMA

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story