Anggota RELA Jaga Rumah Timb. Menteri KDN Ada 12 Rekod Jenayah!

Anggota RELA Jaga Rumah Timb. Menteri Ada 12 Rekod Jenayah

KUCHING – Dua orang anggota Rela yang ditugaskan menjaga kediaman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah antara tiga suspek yang ditahan hari ini kerana cuba memecah masuk kediaman berkenaan di sini pada 24 Disember lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Deputi Supritenden Amihizam Abd Shukor berkata kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek pertama yang berumur 34 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditangkap di Meludam (kira-kira 250 km dari Kuching), manakala seorang lagi yang berumur 30 tahun mempunyai dua rekod jenayah.
“Suspek ketiga berumur 36 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah,” katanya kepada media.
Beliau berkata mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.
Wan Junaidi memuji tindakan pantas polis membuat tangkapan dan berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada kementeriannya untuk mengkaji semula kaedah pengambilan anggota Rela.
“Ini adalah untuk memastikan mereka yang memohon keanggotaan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan benar-benar ikhlas untuk menjalankan tanggung jawab mereka secara sukarela.
“Penapisan yang lebih ketat perlu dibuat untuk memastikan jangan pagar makan padi,” katanya.
Mengakui agak kecewa dengan penglibatan anggota Rela dalam kes itu, beliau bagaimanapun berkata organisasi Rela secara keseluruhannya tidak boleh dipersalahkan dalam perkara itu.
“Saya tak boleh marahkan (keseluruhan) satu organisasi oleh kerana konsep Rela adalah berbentuk kesukarelawan dan melalui pengalaman ini mungkin kita perlu adakan modul yang berlainan untuk pengambilan anggota Rela selepas ini,” katanya.

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story