CUBA anda fikirkan, apabila seseorang individu tiba-tiba diserang demam, dia pastinya akan mengunjungi klinik ataupun sekurang-kurangnya farmasi untuk mendapatkan ubat bagi menyembuhkan sakitnya itu. Sudahnya, si polan tersebut akan berhabisan beberapa puluh ringgit.
Sudah tentulah, situasi berkenaan paling menggembirakan si doktor yang merawat pesakit itu kerana keuntungan hasil perkhidmatannya akan dijana setiap kali pelanggan datang.
Ceritera antara seorang pesakit dan doktor merupakan satu analogi mudah untuk membuka mata sesetengah pihak tentang isu kejatuhan matawang Ringgit ketika ini.
Itulah kenyataan yang perlu dikunyah banyak pihak bahawa dalam kebanyakan senario yang dilalui sehari-hari, pasti akan ada pihak yang untung dan satu pihak lagi rugi. Itu satu norma!
Ya, siapa mampu nafikan fakta bahawa rakyat sedang menanggung kerugian terutamanya apabila berada di luar negara kerana kejatuhan Ringgit ketika ini menyebabkan hasil tukaran menguncup ke jumlah lebih kecil.
Selain itu, kerugian terpaksa dihadapi oleh syarikat yang berorientasikan aktiviti import apabila harganya akan turut meningkat lantas menyaksikan mereka terpaksa menanggung kos tersebut.
Ketika berbicara sisi negatif kejatuhan matawang kita, ramai juga perlu tahu bahawa situasi terbabit turut menyumbang kepada kesan positif terhadap sesetengah pihak.
Beberapa kali diulang dalam kenyataannya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata ia menjadi kelebihan dalam soal kemasukan pelancong asing yang turut sama membawa aliran masuk tunai melalui perbelanjaan mereka di Malaysia.
Tahukah anda, menerusi satu perangkaan, industri pelancongan kini dianggarkan menyumbangkan 12.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menilai dari prestasinya pada tahun lalu, nilai yang disumbangkan sektor tersebut kepada negara berjumlah kira-kira RM104 bilion.
Bukan itu sahaja, situasi tersebut turut membantu warga tempatan dalam soal kerjaya apabila ia menawarkan banyak peluang pekerjaan.
Selain itu, peningkatan harga barangan import juga menyebabkan hasil jualan barangan tempatan akan menjadi pilihan pengguna bagi mendapatkannya pada harga murah. Kesan situasi itu perlahan-lahan akan memulihkan kembali kedudukan ekonomi negara kita.
Ya, sekali lagi dinyatakan, natijah kejatuhan nilai Ringgit pada masa ini pastinya memberi takrifan berbeza pada setiap individu; ada yang rugi, ada yang untung dan ada yang tak terjejas.
Seperti kisah seorang pesakit dan doktor di atas, kita perlu menerima hakikat bahawa tak selalu ekonomi kita ‘sihat’. Adakalanya ia tetap diduga apabila dilanda ‘demam’.
Apa yang penting, kita harus membantu untuk menyuntik kembali aliran keuntungan dengan perbelanjaan bijak. Seperti orang yang tak sihat, lama kelamaan dijamu ubat, sembuhlah dia… – MYNEWSHUB.CC
Bank Negara: Tak Perlu Tambat Ringgit
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment