Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa pemimpin negara segera menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang melanda negara termasuk kejatuhan nilai ringgit.
Titah Sultan Ibrahim, baginda sebagai Raja tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat di Johor dalam keadaan baik, maju dan makmur.
“Suka saya ingatkan kepada pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.
“Rakyat hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat diterima. Janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberi berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar. Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda seperti yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Titah Sultan Johor itu dilaporkan dibuat bersempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas yang Ke-50.
Sultan Ibrahim dalam pada itu menegaskan istilah Bangsa Johor yang dipertikatikan sesetengah pihak bukan perkara baharu bagi membentuk perpaduan masyarakat Johor di bawah satu bangsa.
Malah, titah baginda, sejak dahulu lagu negeri Johor dinamakan sebagai Lagu Bangsa Johor.
“Oleh itu, kepada orang luar yang tidak tahu sejarah Johor, Saya nasihatkan supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.
“Saya berharap rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Johor,” titah baginda. – MYNEWSHUB.CC
0 comments:
Post a Comment