Blogger Beautifulnara Kecewa Dengan Apex


KUALA LUMPUR -  Tidak sampai 24 jam portal ini menyiarkan kenyataan Khairul Fahmi atau Apex yang  ‘mengecam’ blog-blog hiburan tempatan yang telah mewujudkan kontroversi hangat tentang peribadi hidupnya, BeautifulNara.com tampil membalas balik kenyataan penjaga gol kebangsaan itu.
Menurut pemilik dan penulis blog popular berkenaan yang membahasakan dirinya sebagai ‘Abang Nara’, dia kecewa apabila membaca kata-kata Apex itu.
“ Ikhlas Abang Nara katakan yang diri ini kecewa apabila membaca kata-kata Khairul Fahmi yang dikeluarkan di MyNewsHub.
“ Sampai hati Apex kata dia ‘allergic’ dengan blog BeatifulNara. Blog je pun, bukannya makanan seafood. (ok ini gurauan),” kata Abang Nara.
Ekoran kecewa dengan kenyataan Apex, Abang Nara tampil untuk ‘membersihkan’ segala ‘kecaman’ yang diutarakan oleh pemain bolasepak itu.
Menurut Abang Nara, kebanyakan kisah tentang diri Apex telah pun awal-awal lagi dikeluarkan dan disiarkan di dalam surat khabar.
“Untuk makluman Apex, kebanyakan entri gambar-gambar panas, kisah putus tunang, kisah percintaan dengan Dahlia Teck kesemuanya telah pun terlebih dahulu keluar di dalam suratkhabar.
“Abang Nara hanya tulis kembali di dalam blog ini. dan kalau anda betul-betul membaca, kebanyakan entri adalah bersifat positif dan sokongan terhadap anda,” jelas Abang Nara kepada Apex.
Abang Nara juga sempat ‘mengingatkan’ kembali Apex tentang entri-entri atau kisah-kisah positif tentang diri Apex yang pernah dia tulis sebelum ini.
Antara kisah itu ialah; Keromantikan Dahlia Teck terhadap Khairul Fahmi, Penyebaran gambar kontroversi Apek adalah satu konspirasi, Malaysia Juara Apek Awesome, Apek tidak minum arak, dan Muka saya merah kerana suasana panas.
Di penghujung entri, Abang Nara ikhlas memohon maaf kepada Apex sekiranya dia ada terasa hati dan berharap jika ‘ketelanjuran’ tulisan di blognya dapat dimaafkan.
Walaupun begitu, Abang Nara sempat juga memberitahu akan tetap meneruskan ‘aktiviti’ penulisannya tentang diri Apex yang semestinya berunsurkan kisah-kisah yang positif sebagai tanda menyokong pemain bola sepak yang tersohor ini.
Berita sebelum ini melaporkan Apek sedikit ‘angin’ dengan segelintir blog hiburan yang banyak memaparkan tentang kisah peribadi hidupnya meskipun banyak yang dilaporkan itu banyak yang tidak betul dari yang betul.
Seperti tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, Apek kini serik untuk memberikan kerjasama dengan pihak media jika kisah peribadinya yang ‘dikejar’ lebih daripada kerjaya bola sepak itu sendiri.

Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story