NFC: Shahrizat Saman Rafizi, Zuraida RM100 Juta



KUALA LUMPUR – Bertindak balas atas tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh parti pembangkang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan saman terhadap dua pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saman yang difailkan melalui peguam terkemuka, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta di sini menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta dari Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Menurut sumber, Shahrizat yang kini sedang bercuti selama tiga minggu dari tugasnya sebagai Menteri menyaman Mohd Rafizi dan Zuraida berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang meminjam wang (soft loan) sebanyak RM250 juta dari kerajaan.
Pinjaman tersebut diperoleh NFC ketika Shahrizat tidak memegang sebarang jawatan di dalam kabinet setelah kalah bertanding di Parlimen Lembah Pantai pada Nurul Izzah Anwar pada Pilihanraya Umum yang lalu.
Syarikat tersebut dikendalikan oleh suaminya, Datuk Dr. Mohamad Ismail Salleh sebagai Pengerusi NFC dan dibantu oleh dua lagi pengarah lain, Wan Shahinur Izmir Salleh dan Wan Izzana Fatimah Salleh, yang juga merupakan anak kepada Shahrizat.
Mohd Rafizi dan Zuraida kemudiannya menuduh Shahrizat menggunakan kuasa yang ada sebagai Menteri untuk meluluskan pinjaman tersebut bagi pihak keluarganya dan memburuk-burukkan nama baik beliau serta keluarga.
Sumber turut memberitahu bahawa operasi NFC sedang berada di peringkat pertama dan akan mula membuat bayaran balik pinjaman tersebut pada tahun ini dengan jumlah sebanyak lebih RM14 juta setahun sehingga selesai.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa semua aset NFC dibekukan sementara dan meminta agar Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan kemelut syarikat tersebut.
Terbaru, Muhyiddin berhasrat untuk melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi  menjalankan penelitian secara terperinci dan audit terhadap projek NFC berkenaan.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story