Kecuaian Pekerja Punca Kebakaran Dekat KL Sentral



KUALA LUMPUR – Kecuaian membakar sisa binaan menjadi punca kebakaran bangunan tinggi milik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang sedang dibina berhampiran KL Sentral semalam, kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Derahman.
Beliau berkata, siasatan bomba mendapati perbuatan membakar sisa pembinaan seperti kayu-kayan dan bahan mudah terbakar dilakukan oleh pekerja binaan.
“Kami mengambil masa selama tujuh jam untuk memastikan api benar-benar padam disebabkan pihak kontraktor gagal menyediakan kemudahan kebombaan di bangunan itu,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pihak MRCB, kontraktor dan arkitek, hari ini.
Semalam bangunan komersial milik MRCB setinggi 33 tingkat yang sedang dalam pembinaan dan bakal menempatkan pejabat syarikat petroleum terkemuka di KL Sentral, Jalan Tun Sambanthan di sini, terbakar pada jam 3.50 pagi dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.
Bangunan 38 tingkat itu di jangka siap penghujung tahun ini.
Khiruddin berkata, pihak bomba terpaksa mengepam air daripada kolam di kondominium bersebelahan bangunan terbakar itu dan pam jentera bomba untuk memadamkan api.
Beliau berkata, walaupun bangunan terbakar itu mempunyai sistem saluran paip air untuk bomba tetapi bekalan air, hos serta pili masih belum ada.
“Akibatnya bomba mengambil masa yang lama untuk memadamkannya iaitu dari awal pagi sehingga 1 petang semalam dan keadaan angin yang bertiup kencang turut mempercepatkan kebakaran itu,” katanya.
Beliau berkata, kelemahan dalam menyediakan sistem kebombaan itu menyukarkan pihaknya memadamkankan api.
“Saya sudah menasihati pihak pemaju dan pemilik agar menyediakan sistem kebombaan itu kerana ia menjadi syarat penting bagi bangunan yang tingginya melebihi 18.3 meter. Mereka perlu mematuhi syarat ini dan menyediakannya,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan terhadap pihak yang cuai, Khiruddin berkata tindakan akan dibuat selepas laporan bomba siap minggu depan dan pada masa ini mereka hanya diberikan nasihat untuk dipatuhi. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story