David Teo Untung RM24 Juta Tahun Lepas



KUALA LUMPUR – Penerbit syarikat produksi Metrowealth Pictures, Mejar Kehormat David Teo membuktikan dia adalah penerbit filem Malaysia nombor satu apabila meraih kutipan tiket RM24 juta daripada RM108 juta kutipan tiket keseluruhan filem tempatan pada tahun lalu.
Menurut penerbit berasal dari Pekan Jabi, Segamat, Johor ini, dia bukan sahaja bangga dengan pendapatan lumayan itu, malah turut yakin angka itu mampu dipertingkatkan apabila sebanyak 19 buah filem terbitannya akan ditayangkan sehingga hujung tahun ini.
“Saya jangka tahun ini Metrowealth Pictures menjana pendapatan lebih RM24 juta daripada kutipan tiket filem-filem terbitan kami yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jumlah itu tidak termasuk hasil jualan drama dan telemovie terbitan kami yang disiarkan di televisyen.
“Saya berani cakap Metrowealth Pictures sekarang ini adalah penerbit filem tempatan paling aktif dan nombor satu bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara. Ini kerana, sejak tahun 2001 kami telah menerbitkan 72 buah filem dan 54 daripadanya telah pun ditayangkan,” ujarnya.
David berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Cai anjuran Metrowealth Pictures yang diadakan di Hotel Sunway Resorts, Petaling Jaya petang semalam yang bertujuan meraikan para artis, media massa dan kakitangan syarikat produksi tersebut.
Malah, menurut David, dia juga berasa bangga apabila pada tahun lalu Malaysia menjadi negara pengeluar filem paling berjaya di Asia Tenggara mengalahkan Thailand daripada segi kutipan tiket filem-filem tempatan yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.
“Tahun lalu Thailand menerbitkan 55 buah filem dan Malaysia pula 42 filem tetapi negara jiran itu hanya mengutip kutipan tiket RM80 juta sahaja sedangkan kita mengaut kutipan tiket RM108 juta. Ini bermakna filem-filem kita lebih mendapat sambutan para penonton.
“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa Malaysia kini menjadi pengeluar filem paling banyak selepas China di peringkat Asia. Metrowealth Pictures menjadi salah satu produksi yang menyumbang ke arah itu kerana tahun 2012 kami akan menerbit 29 buah filem lagi,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story