Neelofa Mula Terasa Bahang


Neelofa Mula Terasa Bahang
APABILA seseorang artis itu semakin mencipta nama, segala tindak tanduknya mula menjadi perhatian umum. Perkara sama turut berlaku kepada bintang yang semakin menyinar dalam dunia seni, Noor Neelofa Mohd Noor atau Lofa, 22 tahun.
Tidak sampai dua tahun pembabitannya dalam dunia lakonan dan pengacaraan, Lofa berjaya menempatkan diri sebaris dengan bintang popular masa kini.
Pendedahan diterima juga semakin meluas. Wajahnya saban minggu menghiasi televisyen, sama ada mengacara Nona mahupun membintangi telefilem.
Seiring populariti diraih, Lofa kini mula berasa bahang menjadi artis dikenali.
Segala perilaku dan penampilan mendapat perhatian hinggakan perkara lampau dan sejarah hidupnya dikorek dan didedahkan untuk dijadikan bahan bualan masyarakat.
Penampilannya yang hanya berkemban sewaktu menjayakan klip video kumpulan bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Records lebih empat tahun lalu, dipaparkan beberapa laman blog hiburan hingga menjadi isu hangat baru-baru ini.
Sudah tentu ramai mengecam dan meluahkan rasa kurang senang terhadap gaya ditampilkan.
Bukan itu saja, malah sikapnya yang suka ‘cakap lepas’ dengan niat mahu jujur bagi memperbaiki sesuatu perkara turut disalah erti.
Memburukkan keadaan apabila ada pihak menggunakan kenyataan diberikan sebagai bahan sensasi sehingga mencetus kontroversi dan rasa tidak selesa sesetengah pihak.
Berbicara mengenai beberapa isu yang dikaitkan dengannya baru-baru ini, Lofa menerimanya dengan tenang dan menjelaskan, ia sengaja dibangkitkan dengan niat dijadikan modal ‘cari makan’ oleh sesetengah pihak. Perkara itu secara tidak langsung mewujudkan kontroversi membabitkannya.
Gambar yang tersebar itu sudah lama. Malah sebelum saya menyertai pertandingan Dewi Remaja lagi. Saya tidak ambil pusing sangat kerana ia disiarkan pihak tertentu dengan niat untuk cari makan.
“Penulis blog hiburan yang menggunakan gambar itu mengharapkan apabila ia disiarkan, jumlah pembaca laman web mereka akan meningkat.
“Apapun, saya melihat isu ini daripada sudut positif. Ia banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati apabila tampil di depan umum,” katanya.
Lofa tidak menafikan, kemungkinan gambar berkemban itu bukan yang pertama dan selepas ini banyak lagi akan digunakan sesetengah pihak untuk meraih keuntungan.
Tambahan pula sebelum ini, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu lebih dikenali sebagai model. Sepanjang tempoh itu banyak kerja-kerja peragaan dilakukan, termasuk menggayakan pakaian yang dianggap sesetengah pihak terlalu seksi.
“Tidak dinafikan pada zaman remaja, saya suka bergaya dan memakai pakaian yang selesa bagi saya. Begitupun, apabila meningkat dewasa, manusia berubah mengikut peredaran masa dan usia.
“Bergelar artis dikenali, saya harus bertindak secara rasional kerana sedar kini saya menjadi perhatian umum. Saya harus menghormati perkara itu dan mula tukar penampilan.
“Waktu sama, saya turut menerima banyak komen daripada peminat. Sebagai contoh, ada yang menegur dengan berkata ‘awak tutup sikit, sebab kita suka awak’.
“Mereka menegur dengan baik dan saya menghargai teguran seperti itu. Saya ambil teguran mereka dan cuba ubah, namun untuk melakukan perubahan sudah tentu mengambil masa,” katanya.
Mengenai sikapnya yang lantang dalam memberikan pendapat sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak, Lofa mengatakan, dia mula sedar perkara itu.
Tegas Lofa, niatnya baik untuk memperbaiki kelemahan sama ada datang daripada diri sendiri atau pihak lain. Lofa berpegang kepada prinsip ‘berani berkata benar’. Cuma apabila perkara itu dilakukan, ada pihak tidak boleh menerimanya.
“Sama juga dengan beberapa kenyataan yang saya siarkan dalam laman sosial twitter. Apa yang saya katakan sebenarnya dengan niat hendak berkongsi atau memberi maklum balas terhadap komen dan pertanyaan peminat. Tidak sangka pula ia diambil dan dijadikan isu sehingga timbul masalah lain,” katanya.
Pelakon yang mula diperkenalkan sebagai pengacara menerusi program bercorak infotainment Paparazi terbitan KRU menjelaskan, kenyataan diberi diharap akan diterima, sekali gus memudahkan kerja.
“Fasha Sandha sebelum ini pernah hangat dengan isu panas apabila memberikan teguran kepada produksi mahupun pelakon lain yang lewat tiba ke lokasi. Kalau fikir negatif, kita akan nampak perbalahan antara dia dan artis yang ditujukan.
Bagaimanapun kalau melihat positifnya, bagi saya masa sangat berharga dan disiplin adalah penting dalam kerja.
“Sikap Fasha mementingkan masa mendapat pujian ramai. Saya mahu mengikut jejak langkahnya, tapi sayang orang tidak nampak.
“Saya juga sedar apabila bersikap telus dan bercakap dari kotak fikiran, orang susah hendak menerimanya dalam waktu sekarang tetapi lama kelamaan ia akan membantu dalam membuatkan orang lebih memahaminya pada masa akan datang.
“Bila saya bercakap sekarang, orang akan kata saya tak suka itu dan ini, cuba bersikap diva dan berangan, tetapi percayalah dalam jangka masa panjang, perkara itu membuatkan orang lebih memahami saya dan ia membantu memudahkan kami untuk bekerjasama.
“Fasha juga begitu tetapi sekarang orang sebut dan puji sikapnya yang kuat disiplin dan menghargai masa,” katanya.
Waktu sama, Lofa turut melihat perkara itu dalam sudut lain membabitkan dirinya. Kemungkinan pemilihan perkataan dan ayat digunakan itu salah menyebabkan mereka yang mendengar atau membaca kenyataannya di laman sosial membuat tafsiran salah.
“Isu yang timbul daripada sikap saya yang suka cakap lepas juga sebenarnya mengajar saya untuk lebih berhati-hati apa yang perlu saya katakan.
“Pilih perkataan sesuai dan lebih penting lagi, jangan buka mulut jika perkara yang hendak dikatakan itu tidak mendatangkan kebaikan.
“Memilih perkataan sewaktu hendak memberikan komen di laman sosial juga penting. Semua ini membuatkan saya menjadi lebih matang,” katanya.
Belajar kenal karya bagus
Dalam tempoh singkat, kerjaya seni Lofa yang mengikuti pengajian dalam bidang Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran di Sunway University College sungguh membanggakan.
Selepas filem sulungnya, Azura 2012 ditayangkan Februari lalu, menyusul selepas ini Lemak Kampung Santan, Saya Amat Mencintaimu (SAM) dan King Kapchai terbitan KRU Studios. Waktu sama, Lofa dilamar penerbit filem Ombak Rindu, Sharad Sharan membintangi filem terbarunya.
Selepas hampir setahun setengah bergelar pelakon, Lofa mengakui kerjaya seninya berkembang baik. Banyak perkara baru dipelajarinya dan paling penting, tahu hendak memilih filem mahupun drama dibintangi menerusi pengarah mahupun skrip.
“Dulu saya tidak tahu banyak. Apabila diberikan skrip, saya hanya baca. Berbeza sekarang, saya tahu apa penonton mahukan. Kritikan diterima menerusi drama atau filem dilakonkan saya jadikan bahan untuk menilai mana kelemahan dan kelebihan yang ada.
“Contohnya telefilem Nyanyian Sakaratulmaut yang disiarkan menerusi slot Cerekarama baru-baru ini, ia mendapat banyak komen. Daripada situ, saya mula faham dan tahu apa yang yang penonton mahukan.
“Namun semua itu tidak bermakna saya bersikap memilih selepas ini. Cuma saya akan menjadi lebih oportunis dengan menerima tawaran yang dirasakan bagus dan memenuhi kehendak penonton.
“Penonton generasi muda sekarang sukakan jalan cerita berbeza atau corak persembahan lebih segar. Mereka tidak mahu lagi menyaksikan karya mendatar atau jalan cerita terlalu ringan,” katanya yang bakal mempertaruhkan lakonan terbaru, Janji Jujur di TV9 pada 13 Jun ini. – Informasi Dot My

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story