Gadis Misteri Di Pinggir Tangga



Yani menyusuri jalan berbukit ke Asrama Bunga Raya dengan langkah iringan sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Dilirik jam ditangan. Ah, sudah hampir pukul satu pagi, bisik hati kecil Yani. Suasana begitu sunyi dan tenang, maklum sahajalah sudah tengah malam dan kebanyakan penghuni asrama sudah lama dibuai mimpi. Angin malam yang bertiup lembut begitu menyamankan. Desiran daun-daun dari pokok-pokok besar yang tersergam di kiri dan kanan jalan menuju ke Asmara Bunga Raya membuatkan suasana malam tambah syahdu. Biarpun sudah lewat malam, Yani tidak langsung berasa bimbang untuk berjalan sendirian. Sudah lebih tiga minggu dia pulang lewat.




Sejak terpilih mewakili kolej ke pesta kebudayaan di Sarawak, begitulah rutin yang perlu dijalani oleh Yani. Setiap hari bermula dari jam 4.00 petang, latihan tarian akan bermula sehingga hampir waktu solat maghrib. Latihan bersambung lagi dari jam 8.30 malam sehinggalah tengah malam. Waktu hujung minggu, latihan bermula seawal 7.30 pagi dan berlarutan hingga dua atau tiga pagi. Mereka hanya berhenti untuk makan dan solat sahaja. Kalau diikutkan letih, memang teramat letih rasanya sehingga adakalanya Yani ponteng kuliah semata-mata untuk mendapatkan rehat yang cukup. Kadang-kadang rasa menyesal jugak memilih kebudayaan sebagai kegiatan ko-kurikulum. Ingatkan lebih rilek daripada Kesatria, tetapi rupanya lebih teruk, terutama apabila ada pertunjukkan.

Tiba-tiba langkah Yani terhenti. Sorot matanya menangkap satu susuk tubuh yang yang sedang berdiri ditangga menuju ke dewan makan Kenanga yang terletak di hadapan asrama. Hai, siapa pulak yang tersadai di tangga malam-malam buta ini, hati Yani berbisik lagi. Setahu Yani, walaupun tangga itu menjadi tempat lepak kegemaran pelajar, namum ini bukanlah masanya. Maklumlah undang-undang kolej yang agak ketat tidak membenarkan para pelajar lepak sehingga tengah malam. Lagipun Asmara Bunga Raya adalah untuk pelajar perempuan dan pintu pagar besar akan ditutp selepas jam 10.00 malam. Jadi siapakah gerangan pelajar itu? Dari jauh Yani perhatikan susuk tubuh tersebut. Pelajar tersebut pasti pelajar perempuan memandangkan rambutnya yang panjang mengurai hingga ke pinggang. Tangan kanannnya mengepit fail seperti mana lazimnya pelajar-pelajar yang lain. Dia memakai skirt dibawah paras lutut. Kakinya tidak kelihatan dari tempat Yani berdiri. Yani segera teringat pada pesan orang tua-tua tentang cara untuk membezakan hantu dan manusia ialah dengan melihat kakinya.

Tapi benarkah susuk tubuh yang dilihatnya itu hantu? Maklum sahaja, selama ini Yani memang tidak begitu percaya dengan cerita-cerita hantu yang dianggapnya tahyul semata. Yani mula merasa menyesal mengikut jalan itu untuk pulang ke asrama. Kalau dia tahu baik dia mengikuti jalan menyusuri celah-celah asrana seperti mana geng-geng yang lain. Hendak berundur, terasa jalan begitu jauh. Hendak diteruskan, dia tiba-tiba dilanda rasa takut yang amat sangat. Yani berdiri di situ tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Akhirnya Yani mengambil keputusan untuk lalu sahaja di depan susuk manusia itu yang sejak tadi tidak bergerak-gerak. Untuk menghilangkan rasa takut, Yani menyanyi kecil sambil berlenggang seolah-olah sedang menari. Dia juga tidak peduli jika ada orang yang nampak perlakuannya itu. Semuanya Yani tidak peduli. Yang penting, apa yang dilakukan dapat menghilangkan rasa takutnya. Waktu melintas di depan gadis tersebut, Yani tidak langsung menoleh ke arah gadis itu. Entah mengapa hati kecilnya membisikkan jangan berbuat demikian. Langkah Yani laju menuruni anak tangga ke asrama.

Namun begitu langkah tersebut terasa begitu lambat dan anak tangga seolah-olah bertambah sekali ganda. Tiba-tiba Yani tersentak. Sesuatu menyentuh bahunya. Dan bagai lipas kudung, Yani berlari sekuat hati tanpa menoleh ke kiri mahupun ke kanan. Andai sahaja ada pertandingan berlari ketika itu, pasti Yani menjadi juaranya. Mungkin kerana terlampau takut ataupun terlalu terkejut, Yani pengsan sebaik sahaja tiba di bilik asramanya. Ketika tersedar, Yani kehairanan melihat kawan-kawan mengelilingnya. "Kenapa Yani? Kau macam kena kejar hantu," tegur Azza. "Memang aku kena kejar hantu." akui Yani sambil menceritakan pengalamannya sebentar tadi. Tapi bukan simpati yang diterima daripada kawan-kawan, sebaliknya mereka mentertawakannya. Kata mereka mustahil Yani jumpa hantu sebab selama ini mereka tahu Yani tak percaya pada hantu. "Yani, entah-entah gadis itu student yang baru habis kelas. Dia berdiri di situ sebab nak ambil angin malam. Dan yang kau rasa benda sentuh bahu kau tu mungkin daun yang gugur. apalah kau ni..."

Benarkah begitu? Benarkah gadis yang ditemui itu juga pelajar sepertinya dan sentuhan dibahunya hanyalah daun kayu? Sehingga kini Yani masih tidak mendapat jawapan persoalan tersebut.

p/s: bolehlaa..seram la jugak sikit...heh,

Misteriousgrapersz  

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story