Pemuda UMNO Akur Rombakan Kabinet



KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merombak semula jemaah menteri seperti yang diumumkan beliau semalam.
Pemuda UMNO dalam satu kenyataan media berharap kerajaan dapat diperkukuhkan lagi melalui rombakan itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan amanah yang dipikul tidak dikompromi.
“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pemuda UMNO tetap menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO berharap rombakan jemaah menteri semalam tidak digunakan oleh mana-mana pihak sebagai pencetus kepada perpecahan dalam parti.
Tegas Pemuda UMNO, parti itu memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum kelak.
Pemuda UMNO juga berharap isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu terus disiasat.
Jelas Pemuda UMNO, rakyat perlu kebenaran dalam isu tersebut melalui proses siasatan yang sedang dilakukan pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Institusi-institusi tersebut perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan mahupun provokasi daripada mana-mana pihak,” tegas Pemuda UMNO.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO mengingatkan sekarang adalah masa untuk pemimpin dan ahli UMNO bersatu, menggembelengkan tenaga dan menyatukan hati memandangkan pilihan raya umum akan datang kurang tiga tahun lagi.
“Pepatah Negeri Sembilan ada menyebut, antan samo antan berlago ayam topi losung yang kenyang,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story