Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Cabar Tun M Saman Wain Dedah Skandal RM100 Bilion

Cabar Tun M Saman Wain Dedah Skandal RM100 Bilion

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menempelak pakatan pembangkang yang cenderung mengaitkan dirinya dengan pelbagai isu negatif yang berlaku dalam negara.

Presiden UMNO itu berkata beliau dihempap dengan pelbagai kesalahan dengan cerita yang sengaja direka-reka oleh pembangkang untuk menghasut rakyat, termasuk dikaitkan dengan beberapa kes pembunuhan.
“Orang yang saya tak kenal, Altantuya pun dia kata saya terlibat. Kalau terlibat, tak payah tunggu polis, isteri saya dah buat sesuatu dah. Walaupun saya dah sumpah dalam masjid, bangkit lagi cerita, tetapi tiada bukti langsung.
“(Kes) Kevin Morais pun kata saya terlibat. Cerita cincin (Datin Seri Rosmah Mansor) lagi. Selepas itu, dia (Rafizi Ramli) kata bergurau, tetapi bak kata orang putih, ‘the damage is done‘ (kerosakan telah berlaku),” katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap menggulung perbahasan di hadapan lebih 2,000 perwakilan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibunuh pada 2006 manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dibunuh sebelum mayatnya disumbat dalam tong dram dan disimen pada 4 September 2015.
Najib juga mempersoalkan tindakan Tun Dr. Mahathir yang sengaja mengadakan-adakan cerita mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), seolah-olah syarikat itu langsung tiada sumbangan kepada negara.
“Isu 1MDB dia kata rugi RM42 bilion, lepas itu dia kata RM27 bilion. Sekarang dah terjawab (isu itu), dia senyap pula. Tetapi jasa 1MDB, setiap tahun 1,200 imam dan ketua kampung naik haji.
“Ada juga jasanya (1MDB). Kalau ada kelemahan, kalau salah, akan segera dibetulkan,” jelas Najib sebagai membidas tohmahan oleh bekas perdana menteri itu.
Beliau turut mencabar Mahathir untuk menyaman penulis, Barry Wain yang menulis buku bertajuk ‘Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times’mengenai penyelewengan berlaku ketika pemerintahan selama 22 tahun.
“Zaman Mahathir lagi banyak cerita. Cerita IPP (penjana tenaga bebas), cerita tol (konsesi lebuh raya), penswastaan Malaysia Airlines, isu Perwaja, Forex (tukaran wang asing). Saya tahu cerita.
“Dalam buku dia (Wain), ada dedah RM100 bilion ketirisan. Kalau tak betul, (Mahathir) saman la Barry Wain. Kalau bab saya, dia suruh saman. Kalau bab dia, tak pula saman,” katanya.
Najib juga mencabar Mahathir, sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan konvensyen parti baharunya, bagi melihat sama ada perwakilan parti itu mampu memenuhi dewan seperti yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Elak Sindrom Lawak Dalam Perhimpunan Agung UMNO

lawak UMNO
IPOH – Perhimpunan Agung UMNO 2016 hujung bulan ini mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), maka ia perlu diguna sebaiknya untuk mengukuhkan parti dan menyuarakan suara rakyat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, para penganalisis politik berpandangan adalah penting untuk jurucakap yang dipilih mengelak ‘sindrom jenaka’ dalam perbahasan mereka walaupun merasakan ia sebagai tarikan.
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata kecenderungan membuat lawak dibimbangi akan memberi persepsi kurang baik kepada parti selain hanya membuang masa.
“Berucaplah sebagai orang yang berpengalaman dan hentikan membuat lawak kerana masa yang diberi itu sangat terhad, maka gunakan sebaik mungkin untuk menyampaikan perkara penting.
“Tidak dinafikan lawak itu penting lagi-lagi jika semua dalam keadaan mengantuk, tetapi kalau keseluruhan ucapan penuh dengan lawak ia langsung tidak membawa makna,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh baru-baru ini.
Selain itu, Md. Shukri berkata para pembahas perlu sedar kehadiran mereka ke perhimpunan itu berbekalkan amanah rakyat yang perlu disampaikan dengan sejujurnya.
“Jika perlu mengkritik boleh kritik tidak salah tapi biarlah yang membina sebagaimana yang sering diutarakan serta keterbukaan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Senada dengan Md. Shukri adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman yang berkata jurucakap hebat tidak perlu unsur jenaka untuk menarik minat perwakilan mendengar hujah mereka.
“Apalah gunanya naik di pentas tapi menghabiskan masa yang diberi dengan lawak, ia ibarat tin kosong berbunyi tiada iktibar daripada ucapan.
Ditanya mengenai isu yang mungkin dibangkitkan oleh para pembahas, Ismail tidak menolak kemungkinan kos sara hidup akan hangat diperkatakan.
Beliau berkata sebagai perhimpunan yang antara lain berperanan sebagai platform untuk merangka dasar kerajaan, tidak salah untuk jurubahas terpilih menyuarakan pandangan dan keluhan rakyat di peringkat akat umbi.
“Inilah tempat untuk perwakilan menyuarakan pandangan mereka terutama dari negeri di bawah pentadbiran pembangkang yang mempunyai banyak kekangan untuk bersuara.
“Delegasi tidak perlu takut untuk mengkritik, nyatakan apa yang terbuku tapi biarlah mengikut adab orang Melayu yang terkenal dengan berlapik, hentam tapi ada lunaknya,” saran Ismail.
Bagi Geostrategis, Azmi Hassan pula kelantangan bersuara perlu ada batasnya kerana perhimpunan tersebut bukan sahaja mendapat perhatian rakyat, malah masyarakat antarabangsa.
“Dibimbangi jika melebih-lebih ia boleh menyebabkan ketidakstabilan parti, namun jika perlu ditapis janganlah sampai terlampau mengekang,” katanya.
Tambah Azmi perhimpunan kali ini perlu menunjukkan bahawa UMNO masih kuat, bersedia dan bersatu untuk kelangsungannya serta paling penting dalam menghadapi PRU14.
Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka lebih 3,200 perwakilan hadir. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Bertindak Cepat Selesai Isu-Isu Semasa – Tun Abdullah


BANGI – Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan harapan barisan kabinet baharu dapat bertindak cepat dalam menyelesaikan isu-isu semasa.
Beliau berkata rakyat menanti perubahan dan kebaikan yang akan dilaksanakan barisan kabinet baharu itu.
“Kalau tunggu-tunggu akan membawa lebih banyak kesusahan. Tindakan cepat itu yang mesti dibuat segera, untuk membawa apa jua kebaikan sebagai kesan daripada rombakan,” katanya ketika diminta mengulas harapan beliau terhadap barisan kabinet baharu.
Dalam masa sama, Abdullah berharap barisan kabinet baharu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, diberi peluang untuk melaksanakan apa yang dirancang.
“Bukan satu perkara yang senang tapi saya harap mereka akan berusaha bersungguh-sungguh supaya apa yang mereka rancang akan membawa kejayaan,” katanya kepada media selepas perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan Kewangan Islam 2015 di Institut Latihan Islam Malaysia di sini hari ini.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Najib menamakan Ahmad Zahid sebagai timbalannya bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam barisan kabinetnya.
Rombakan kabinet itu melibatkan pelantikan tujuh menteri baharu, lima menteri digugurkan dan beberapa pertukaran portfolio.
Diminta mengulas pengaturan masa rombakan tersebut yang dilakukan ketika siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sedang berjalan, Abdullah berkata andaian tersebut tidak boleh dibuat sebegitu mudah.
“Beri mereka (barisan Kabinet) peluang untuk menyelesaikan. Kalau tak boleh jugak.. itu susahlah tu,” katanya.
Mengulas pengguguran Muhyiddin daripada barisan kabinet, Abdullah berkata: “Itu adalah keputusan yang tentu sekali PM sendiri ambil tindakan. Tentu ada tindakan yang perlu dilaksanakan beliau sendiri.”
Dalam masa sama, Abdullah berkata Ahmad Zahid perlu diberi peluang untuk menggalas tanggungjawabnya.
Ditanya mengenai penamatan perkhidmatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 27 Julai, Abdullah berkata: “Itu mengejutkan jugaklah apa yang berlaku.”
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyatan semalam mengumumkan perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan. – BERNAMA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Perdana Menteri Berhak Lakukan Rombakan Kabinet – Mukhriz


ALOR SETAR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk melakukan rombakan Kabinet dan semua pihak perlu menerima perubahan yang dilakukannya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa perdana menteri telah pun memikirkan ‘semasak-masaknya’ tentang apa yang terbaik untuk kerajaan dan politik.
“Perdana menteri mempunyai hak untuk membuat sebarang rombakan (Kabinet) dan beliau telah menggunakan kuasa beliau untuk melakukan rombakan semalam. Kita mesti terima apa-apa sekali pun perubahan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.
Beliau melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu, selain mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Selain itu, perdana menteri turut melantik tujuh muka baharu sebagai menteri dalam barisan Kabinetnya dan menggugurkan empat menteri serta satu timbalan menteri daripada jawatan mereka.
Beliau turut membawa masuk beberapa muka baharu sebagai Timbalan Menteri.
Mengenai pertemuan dengan Muhyiddin di kediamannya semalam, Mukhriz berkata ia adalah kunjungan biasa untuk mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di atas jasa-jasanya terhadap Kedah selama ini.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, banyak sekolah dan pelajar-pelajar di Kedah menerima faedah daripada penyaluran peruntukan yang diluluskan oleh Muhyiddin.
“Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk sekurang-kurangnya berjumpa dengan beliau (Muhyiddin) dan mengucapkan terima kasih banyak daripada kerajaan negeri Kedah di atas semua budi baik beliau,” katanya.
Rombakan semalam turut menyaksikan dua pemimpin dari Kedah iaitu bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan manakala Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharom dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
Pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pendidikan, yang dianggap jawatan kanan dalam Kabinet, merupakan satu penghormatan kepada Kedah, kata Mukhriz sambil mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.
“Ia adalah kementerian yang amat mustahak,” katanya dan mengucapkan tahniah kepada Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah.
Ditanya sama ada rombakan Kabinet semalam akan menimbulkan masalah kepada UMNO, Mukhriz berkata beliau yakin Najib selaku Presiden parti telah membuat penilaian mendalam tentangnya.
“Saya rasa Presiden sudah tentu menilai sedalamnya mengenai reaksi dan persepsi rakyat terhadap rombakan ini, kerana tentunya kita berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kita menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.
Menurutnya Najib mungkin melakukan kajian tertentu bagi mengukuhkan rasional di sebalik keputusan melakukan rombakan Kabinet itu.
Mengenai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat ini, Mukhriz berkata beliau difahamkan sesi penerangan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diadakan selain kemungkinan adanya perbincangan mengenai rombakan Kabinet. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Jangan Jadikan Pengguguran Muhyiddin Sebab Perpecahan


SERDANG – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri tidak dijadikan isu yang boleh mewujudkan perpecahan dalam kalangan anggota UMNO.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkata seluruh anggota parti perlu sedar bahawa soal melantik atau menggugurkan seseorang menteri merupakan kuasa mutlak Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri.
“Saya harap semua anggota UMNO bertenang kerana yang pentingnya di sini bukan individu tetapi lebih utama adalah parti dan sebagai tanda sayang kita mesti bersatu di bawah satu kepimpinan untuk kemenangan parti secara keseluruhan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam, Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu manakala tempatnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sebelum itu mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
– BERNAMA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pemuda UMNO Akur Rombakan Kabinet



KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merombak semula jemaah menteri seperti yang diumumkan beliau semalam.
Pemuda UMNO dalam satu kenyataan media berharap kerajaan dapat diperkukuhkan lagi melalui rombakan itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan amanah yang dipikul tidak dikompromi.
“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pemuda UMNO tetap menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO berharap rombakan jemaah menteri semalam tidak digunakan oleh mana-mana pihak sebagai pencetus kepada perpecahan dalam parti.
Tegas Pemuda UMNO, parti itu memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum kelak.
Pemuda UMNO juga berharap isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu terus disiasat.
Jelas Pemuda UMNO, rakyat perlu kebenaran dalam isu tersebut melalui proses siasatan yang sedang dilakukan pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Institusi-institusi tersebut perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan mahupun provokasi daripada mana-mana pihak,” tegas Pemuda UMNO.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO mengingatkan sekarang adalah masa untuk pemimpin dan ahli UMNO bersatu, menggembelengkan tenaga dan menyatukan hati memandangkan pilihan raya umum akan datang kurang tiga tahun lagi.
“Pepatah Negeri Sembilan ada menyebut, antan samo antan berlago ayam topi losung yang kenyang,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Umno Pecat Tiga Ahli

Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR: Tiga ahli Umno Bahagian Maran, Pahang dipecat kerana didapati melanggar disiplin parti dan mempunyai dua keahlian iaitu Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, petang Selasa.

"Pemecatan mereka berkuatkuasa serta merta. Salah seorang daripada mereka dipecat atas kesalahan berceramah di atas pentas PKR, manakala dua lagi didapati bersalah kerana memegang keahlian dalam dua parti berbeza," katanya.
Najib berkata, keputusan Lembaga Disiplin memecat ketiga-tiga mereka telah disahkan oleh Majlis Tertinggi Umno.
Pada sidang media sama, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa MT Umno mahu penekanan khusus diberikan terhadap usaha pembangunan di luar bandar seperti yang telah dibentangkan dalam Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Dalam pembentangan Bajet 2015, kerajaan antara lain memperuntukkan RM4.5 bilion untuk menyedia dan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata anggota majlis juga menekankan tentang pentingnya pelaksanaan dan pengagihan peruntukan Bajet 2015, supaya ia dapat berjalan dengan sempurna dan lancar.

"Secara umumnya, anggota MT sangat berpuas hati dengan Bajet 2015," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata semua anggota MT juga mengambil maklum bahawa Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera telah dizahirkan secara terbuka sebagai agenda nasional negara semasa pembentangan bajet itu.

Dalam Bajet 2015 bertemakan "Ekonomi Keperluan Rakyat", RM223.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata anggota MT mengambil maklum kejayaan pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor pada 25 September lalu dan akan menjadikannya sebagai contoh bagi meneruskan kecemerlangan BN pada mana-mana PRK.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jentera BN pada PRK tersebut dengan sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

PRK Pangkalan Kubor dimenangi calon BN Mat Razi Mat Ail yang menewaskan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 2,635 undi.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga memaklumkan Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).-mstar

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story