Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Johor Seragamkan Kemeja Kokurikulum Sekolah

Johor Cipta Identiti Dengan Seragamkan Kemeja Kokurikulum Sekolah

BAGI memperkasakan jati diri dan mewujudkan identiti, semua sekolah di negeri Johor akan menyeragamkan pemakaian kemeja T untuk aktiviti kokurikulum bermula tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan selepas satu surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dimuat naik dalam laman sosial.
Johor Cipta Identiti Dengan Seragamkan Kemeja Kokurikulum Sekolah
Dalam surat yang bertarikh 19 Oktober 2016 itu, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif menjelaskan pihaknya berhasrat untuk melaksanakan program Karakter Murid Johor (KrMJ) bermula pada tahun hadapan.
Menurutnya, semua sekolah di negeri itu digalakkan bersama-sama menjayakan program tersebut melalui pemakaian kemeja dalam sebarang aktiviti yang dijalankan di sekolah.
“Pemakaian kemeja yang reka bentuknya berasaskan warna negeri Johor adalah satu insiatif bertujuan mewujudkan keseragaman berpakaian dalam kalangan murid sekolah.
“Tiada paksaan perlu dilakukan dalam menjayakan pemakaian kemeja T ini,” katanya.
Jelasnya, pihak sekolah boleh menempah kemeja T tersebut pada syarikat yang menyediakan perkhidmatan bekalan pakaian, namun ia perlu mematuhi prosedur yang sedia ada.
Corak dan reka bentuk kemeja itu telah diluluskan Majlis Mesyuarat Tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan ia boleh dimuat turun menerusi laman web JPN Johor.
“Semoga keseragaman berpakaian ini akan dapat mewujudkan identiti karakter murid Johor yang boleh dibanggakan,” katanya.
Rakyat Johor nampaknya menyambut baik idea penyeragaman kemeja ini dan menganggap ianya seperti warna jersi pasukan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Difahamkan, baju tersebut dijual pada harga RM17 untuk murid sekolah rendah dan RM23 untuk pelajar sekolah menengah. – MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Ketua Pemuda PPBM Biadap Hina Titah Sultan Johor

Ketua Pemuda PPBM Biadap Hina Titah Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didesak sebuah badan bukan kerajaan untuk segera memohon maaf secara terbuka.

Ia berhubung kenyataan biadabnya didakwa tidak menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang sebarang perhimpunan jalanan haram daripada diadakan di negeri tersebut pada bulan ini.
Desakan Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Johor itu juga mahukan Syed Saddiq memohon maaf kepada rakyat negeri ini selain menasihatkannya ‘belajar’ sejarah Johor dan ikrar taat setia Bangsa Johor.
“Sebagai rakyat Johor, kita perlu faham dan jelas konsep Bangsa Johor yang lebih menekankan permuafakatan, kesepakatan dan amalan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam apa jua bidang.
“Kenyataan biadap beliau seolah-olah ingin ajar baginda dan memperlihatkan Sultan Ibrahim tidak tahu langsung perundangan dan peraturan negara,” ujar Pengerusi Gapema Johor, Muhammad Suwarno dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas Syed Saddiq dalam satu kenyataan semalam mendakwa, hak untuk berdemonstrasi tanpa permit itu konon adalah hak asasi setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

syed1
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Ketua sayap parti pembangkang itu juga mendakwa demonstrasi diiktiraf undang-undang antarabangsa iaitu Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.
Syed Saddiq merujuk Himpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang, dekat sini apabila Sultan Johor dalam titahnya menegaskan tidak sesekali membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang demonstrasi di negeri ini.
Sultan Ibrahim bahkan menyeru rakyat agar menjauhi sebuah parti baharu yang dianggap sebagai virus dalam usaha memecahbelahkan perpaduan penduduk negeri itu dengan hasutan jahat untuk membenci kerajaan.
Baginda turut menyelar seorang pemimpin terkenal yang diibaratkan seumpama kacang lupakan kulit apabila tamak menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dengan melakukan pindaan perlembagaan persekutuan pada 1994 lalu.
Titah Sultan Johor itu meskipun tidak menyatakan dengan terbuka namun ia jelas merujuk kepada demonstrasi haram Bersih 5 pada 19 November ini yang didalangi kumpulan propembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
Manakala parti disebut baginda itu dapat difahami sebagai PPBM manakala pemimpin dirujuk berkenaan ialah pengerusi parti tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Tahniah: Cincin RM85,000 Untuk Pemain & Pengurusan JDT

Cincin RM85,000 Untuk Pemain & Pengurusan JDT

BERITA baik untuk pemain dan pengurusan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal menerima hadiah cincin khas bernilai RM85,000 atas kejayaan memenangi Liga Super Malaysia tiga tahun berturut-turut.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, cincin emas dan platinum yang bertatahkan berlian dan batu nilam itu akan diberikan kepada pemain dan kakitangan pasukan tersebut sebagai tanda kenangan.
“Ini adalah reka bentuk cincin emas dan platinum bertatahkan berlian dan batu nilam berharga RM85,000 setiap satu yang akan diberikan kepada para pemain, kakitangan dan staf JDT atas kejayaan kelab menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.
“Ia merupakan satu kenangan tanda kejayaan mereka yang merupakan sebahagian sejarah hebat yang telah dilakar oleh kelab Harimau Selatan. Luaskan Kuasamu Johor,” katanya dalam kenyataan itu.
Cincin RM85,000 Untuk Pemain & Pengurusan JDT
Sementara itu, Johor Southern Tigers menerusi kenyataan di ruangan komen turut menjelaskan kelab berkenaan akan mengeluarkan replika cincin khas untuk penyokong mereka dengan harga mampu milik.
“Untuk makluman semua, JDT akan mengeluarkan replika cincin khas tersebut untuk penyokong JDT. Harga belum ditentukan tapi pastinya ia mampu milik untuk dijadikan kenangan,” katanya.
JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila memenanginya pada 2014 dan 2015. – MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story