Showing posts with label myanmar. Show all posts
Showing posts with label myanmar. Show all posts

Rohingya: M’sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan

Rohingya: M'sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak badan antarabangsa serta negara komuniti ASEAN mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Beliau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya tidak sekadar menyaksikan kekejaman berlaku, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Rohingya: M'sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan
“OIC, tolong jangan tengok saja, lakukanlah sesuatu. PBB, dunia tidak boleh berdiam diri dan hanya menyaksikan pemusnahan bangsa, ini adalah masalah kita.
“Beratus ribu sebelum ini mati di Rwanda dan Bosnia, dunia hanya melihat dan lewat bertindak, kali ini kami tidak mahu hanya menunggu dan melihat,” katanya pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.
Najib turut meminta Presiden Indonesia Joko Widodo supaya mengadakan perhimpunan aman dengan rakyat negara itu sebagai tanda memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya.
“Jangan protes Ahok (Gabenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama) sahaja, Rohingya mesti diperjuangkan, mereka boleh berhimpun di Jakarta, kita nak tunjuk kita tidak reda, kita mesti bertamadun, jaga nyawa dan harta benda, ini tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada maqasid syariah…ini wajib,”katanya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata Malaysia akan terus bertindak menggunakan apa jua saluran untuk meletakkan tekanan ke atas kerajaan Myanmar sehingga umat Islam Rohingya bebas daripada kezaliman.
Beliau berkata isu Rohingya begitu mencengkam kalbu umat Islam di negara ini kerana agama Islam dihina manakala hak asasi manusia pula dirobek.
Rohingya: M'sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan
“Hari ini umat Islam dan bukan Islam menyatakan pendirian kita yang cukup tegas bahawa kita nak memberi isyarat kepada kerajaan Myanmar, nak beritahu Aung San Suu Kyi… sudahlah tu,” katanya sambil menjelaskan Malaysia bukan mahu campur tangan dalam urusan negara berkenaan.
Kata Najib, kehadiran beliau pada perhimpunan itu walaupun digertak kerajaan Myanmar, sebagai mempertahankan bukan hanya agama Islam, tetapi hak asasi manusia.
Rohingya: M'sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan
“Ia (Myanmar) pakai satu saja artikel dalam ASEAN iaitu kita tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negara lain, dia tidak baca artikel lain mengenai hak asasi manusia. ASEAN juga mempertahankan hak asasi manusia, mereka ini buta ke? Janganlah tafsir ikut sesuka hati.
“Apabila berlaku kezaliman, kekejaman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol, dipukul… apakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?,” katanya sambil mempersoalkan makna anugerah Nobel Keamanan yang dimiliki pemimpin negara tersebut.
Rohingya: M'sia Desak Badan Antarabangsa Ambil Tindakan
Perdana menteri berkata beliau selaku ketua kerajaan yang mewakili 31 juta rakyat Malaysia tidak boleh ‘tutup mata’ dan membisu dengan kekejaman yang berlaku.
Dalam pada itu, Najib berkata perhimpunan hari ini turut melakar sejarah kerana rakyat mengetepikan perbezaan politik atas nama Islam dan kesatuan ummah.
“Kita ada UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik,” katanya. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Malaysia Tak Peduli Ugutan Myanmar – Najib

2
“DIA (kerajaan Myanmar) gertak saya. Dia beri amaran kepada saya. Saya tak peduli. Saya hadir atas nama ummah dan rakyat Malaysia seluruhnya. Allahukbar!
Itu ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara itu.
Berucap dalam himpunan yang diadakan di stadium Mini Titiwangsa di ibu negara itu, Najib berkata Malaysia tidak berhasrat campur tangan dalam urusan Myanmar, sebaliknya mengingatkan negara itu mengenai piagam Asean yang menekankan hak asasi manusia.
Menurutnya, Malaysia tidak akan ‘buta’ terhadap isu-isu penindasan yang telah sekian lama berlaku keatas etnik minoriti Muslim Rohingnya.
Bukan kita nak campur tangan. Tidak. Kita mahu tegaskan Asean mempertahankan hak asasi manusia,” 
Tahun lepas kita isytihar Asean sebagai satu komuniti. Bila berlaku kezaliman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dipukul, diusir tak boleh bekerja, apakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?
Apa nak mereka (kerajaan Myanmar) saya buat? Nak minta saya tutup mata? Nak saya bisu? Tapi saya tak akan tutup mata dan bisu. Sebab Rohingya ini mesti kita bela.
Mereka juga adalah manusia. Kita mesti berjuang habis-habisan. Allahuakbar,” katanya hari ini dihadapan hadirin yang majoritinya adalah pemimpin dan ahli Umno serta Pas, dan sebahagian pelajar tahfiz.
Najib menambah, isyarat sama diberi kepada menteri luar Myanmar, Aung San Suu Kyi yang pernah menerima anugerah nobel keamanan, yang mana Malaysia cukup tegas dalam isu ini.
Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar. Kita nak beritahu kepada Aung San Suu Kyi. Enough is enough (hentikan),” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga diseru agar mula bertindak dan tidak hanya menjadi pemerhati dikala terdapat rakyat yang tidak berdaya ditindas.
Hadir sama dalam himpunan yang melibatkan kerjasama 21 badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pimpinan Umno dan PAS.
Kelmarin, kerajaan Myanmar memberi amaran kepada Najib agar tidak menyertai Himpunan Solidariti Ummah bagi mengutuk tindakan mereka ke atas warga Rohingya. -MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story