KUALA LUMPUR – Bola Kampung The Movie terbitan Animasia Studio Sdn. Bhd. merupakan filem animasi tempatan yang paling mahal pembikinannya apabila kosnya mencecah RM6 juta sejak ia memulakan penggambarannya dua tahun lalu.
Menurut Pengarah Urusan Animasia Studios Sdn. Bhd., Edmund Chan, Bola Kampung The Movie yang merupakan kesinambungan daripada siri kartun televisyen berjudul Bola Kampung diterjemahkan ke layar perak selepas kejayaan kartun 100 peratus buatan Malaysia itu.
“Siri kartun Bola Kampung setakat ini telah ditonton di 16 buah negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki. Tayangan itu amat meluas selepas saluran kartun Disney Channel dan Cartoon Asia Network turut menyiarkan di saluran mereka.
“Kos pembikinan Bola Kampung The Movie bukan sahaja mencecah RM6 juta sebagai yang paling mahal setakat ini tetapi pembikinannya juga mengambil masa dua tahun. Hampir 100 pakar animasi termasuklah artis, komposer dan pemuzik terbabit dalam projek ini,” ujarnya.
Bola Kampung The Movie menampilkan ramai pelakon popular yang meminjamkan suara mereka untuk watak-watak dalam filem itu antaranya Afdlin Shauki, Deanna Yusof, Douglas Lim, Aznil Haji Nawawi, Baki Zainal, Rahim Omar, Aizat, Noh Hujan, Harun Salim Bachik dan Ezlynn.
Filem yang menmapilkan watak-watak kartun seperti Iwan, Sabok, Azeizul dan Nasha yang menggunakan banyak elemen imej komputer grafik (CGI) dan bakal menjengah pawagam seluruh negara pada hujung tahun ini merupakan filem pertama terbitan syarikat produksi terbabit. – mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment