Penganggur Didakwa Rogol, Menyamar Polis



PULAU PINANG – Seorang penganggur bukan sahaja didakwa atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan tiga, namun turut dituduh menyamar sebagai anggota polis dan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah pada awal bulan ini.
M. Retnam, 32, hari ini membuat pengakuan tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun itu di dalam kawasan hutan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pondok Upeh, Balik Pulau antara pukul 2.30 petang dan 3.30 petang, 1 Mac lalu.
Tertuduh berasal dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor yang tidak diwakili peguam bela itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 16 Julai ini bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA).
Retnam turut membuat pengakuan yang sama di Mahkamah Majistret di sini bagi tuduhan menyamar sebagai anggota polis dan memiliki senjata berbahaya itu di dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi, antara pukul 10.30 malam dan 10.40 malam hari yang sama.
Lelaki itu didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kad dan meminta pasport milik seorang wanita Indonesia.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Retnam turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter (cm) termasuk pemegang tanpa kebenaran yang sah iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.
Majistret Nor Aini Yusof menetapkan sebutan kes pada 17 April ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail dan Nur Azizah Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story