TELUR PUTIH MENJADI BIRU, TANDA TELUR TIRUAN?


telur terengganu
KERTEH – Selera sebuah keluarga di Taman Indah Permai, Kampung Baru Kerteh di sini, kelmarin untuk menjamah hidangan tengah hari terjejas selepas telur yang direbus bertukar menjadi warna biru pada bahagian putih telurnya, dipercayai telur tiruan.
Mohd Yusof Abdul Aziz, 48, yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkata, dua biji telur yang dimasak isterinya, Sharah Shahernie Shafie juga mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Katanya, telur yang telah direbus dikupas kulit dengan setiap biji telur dibelah dua untuk ditumis, sebelumisterinya terkejut apabila melihat bahagian putih pada telur terbabit bertukar menjadi warna biru dan terdapat tompokan seperti dakwat biru di tengah-tengah bahagian putih telur itu serta kuning telurnya juga berwarna agak pekat.
“Seumur hidup, inilah pertama kali saya lihat putih telur berwarna biru. Terkejut saya apabila melihat keadaan putih telur berubah warna sebegini.
“Dua biji telur ini adalah antara 10 biji telur dalam satu bungkusan kotak telur plastik, yang saya beli (malam Rabu lalu) di sebuah pasar raya di Paka, Dungun. Tarikh luput telur yang tertera pada bungkusan juga masih jauh dan ia masih boleh dimakan. Itu menyebabkan saya pelik,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.
Sejurus melihat keanehan pada dua telur tersebut, Mohd Yusof segera memeriksa lapan lagi telur yang tinggal dan mendapati salah sebiji daripadanya berbentuk agak ganjil dengan saiznya lebih besar daripada telur lain.
Menurutnya, pada ruang tengah kulit ayam tersebut licin seolah-olah dilakukan penyambungan pada bahagian luaran kulit telur tersebut manakala pada kotak plastik telur terbabit tertera telur berkenaan dikeluarkan di Melaka.
“Kemungkinan juga telur tiruan dicampurkan bersama telur tulen bagi mengelakkan ia disedari. Kalau dua telur tadi digoreng mungkin kami sekeluarga tidak sedar akan keganjilan pada dua biji telur itu.
Mohd Yusof dan isteri serta anak-anak kemudiannya hanya makan nasi berlaukkan kicap bagi mengalas perut kerana sudah hilang selera makan.
“Jadi saya sebagai pengguna merasa sangat dukacita dengan perkara ini kerana jika benar ia telur tiruan ia boleh membahayakan nyawa pengguna.
“Pengguna lain juga perlu berhati-hati ketika membeli telur bagi mengelakkan ditipu dan diharap pembekal juga tidak mementingkan keuntungan sahaja,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story