Penjara Pudu…Hanya Ini Saja Yang Tinggal


Penjara Pudu
Hanya pintu gerbang ini saja yang tinggal.
Itu saja yang boleh dikatakan tentang Penjara Pudu, bangunan bersejarah yang dibina pada tahun 1891 itu ketika ini.
Pelbagai pihak berdebat sebelum ini sama ada wajar atau tidak bangunan tersebut dikekalkan.
Ada yang merasakan sejarah yang tersimpan di dalamya ‘bukan sesuatu yang perlu dikenang atau untuk dipelihara’.
Bahkan Penjara Pudu tidak pernah pun diiktiraf dalam senarai bangunan warisan oleh Organisasi Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Semasa Mynewshub.my ke sana tadi, yang tinggal cuma pintu gerbang dan saki baki sisa runtuhan yang menunggu masa untuk diratakan sepenuhnya.
Mungkin ada pro dan kontra tentang Penjara Pudu ini, tetapi yang pasti, ia sudah 90 peratus menyembah bumi untuk ‘memberi peluang’ kepada satu projek pembangunan berskala tinggi yang akan dikenali sebagai Bukit Bintang City Centre (BBCC).
Pembangunan BBCC di kawasan seluas 7.6 hektar itu akan membabitkan pembinaan 1,100 unit kondominium, hotel, ruang pejabat dan pusat komersial dengan anggaran kos RM5 bilion.
Projek itu akan dilaksanakan dalam enam fasa dengan keseluruhan kawasan ruang niaga 540,000 meter persegi dan dijangka siap dalam tempoh hingga lapan tahun atau pada 2015.
Kerja-kerja pembinaan dijangka akan selesai sebelum pembinaan Menara Warisan 100 tingkat, Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (IFC) serta pembangunan semula Lapangan Terbang Sungai Besi.
Selamat tinggal Penjara Pudu…mungkinlah inilah harga sebuah pembangunan
Oleh Nurul Nafisah Mazlan / Gambar Mohd. Yumni Harun (Mynewshub.my)

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story