KAJANG – Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumpul semua laporan polis dan memulakan siasatan berhubung isu klip video berbaur sindiran yang dikaitkan dengan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya menerima 300 laporan polis berhubung perkara itu daripada badan bukan kerajaan (NGO), individu dan pertubuhan lain.
“Siasatan telah kita mulakan dan SKMM juga beri kerjasama bukan sahaja untuk muat turun (video), malah beberapa maklumat lain telah kita peroleh,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Penjara Sejahtera di sini, hari ini.
Klip video berdurasi hampir 12 minit itu memaparkan Kok selaku pengacara dan tetamu undangannya mengeluarkan kenyataan menyindir kerajaan dan beberapa perkara lain seperti isu keselamatan di Sabah.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Kementerian Dalam Negeri perlu segera memaklumkan kepada rakyat keputusan siasatan klip video berkenaan.
“Kita mahu tahu…kalau tak ada tindakan pun, kena beri penjelasan sama ada terdapat unsur hasutan atau tidak. Jangan sampai berlarutan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Simposium Aspirasi dan Kepimpinan Negara Kedua.
Di KOTA BAHARU, kira-kira 500 anggota Umno dan sebuah NGO mengadakan bantahan secara aman di Taman Hijau pada 1 tengah hari tadi berhubung video itu yang dilihat menunjukkan kebiadapan Kok.
Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata pemimpin DAP itu patut menerima kecaman hebat daripada rakyat negara ini kerana kebiadapannya.
“Ini perlu Teresa hadapi. Dia yang mulakan dahulu dan ini bukan kali pertama dia buat. Dia melukakan hati banyak pihak,” katanya.
Pengerusi Barisan Darul Naim (Badar) Kamaruddin Kassim pula berkata penerbitan klip video itu diibaratkan “bermain api” dan dikhuatiri mencetuskan keadaan tidak baik di negara ini. - BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment