Saksi Dengar Jeritan Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz - Takziah



KUALA LUMPUR – “Panas…panas…abang tolong panas!” Jeritan pelajar tahfiz itu terngiang-ngiang di ingatan Shahirman Sharil yang menyaksikan sendiri kebakaran di pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung, di sini awal pagi ini.

Shahirman, 39, yang tinggal berhampiran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, berkata beliau mendengar jeritan para pelajar pusat tahfiz itu kira-kira 5 pagi.
“Saya lihat keadaan di luar masih gelap kecuali api yang marak di tingkat tiga pusat tahfiz itu. Saya bersama penduduk lain cuba bantu mengeluarkan mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Shahriman, beliau dan jiran-jiran kemudiannya mengarahkan beberapa pelajar terjun dari tingkat tiga.
“Kami cuba menyambut mereka, ada yang melecur. Kami cuba bantu apa yang perlu sebelum menunggu ketibaan bomba untuk memadam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan,” katanya.
Seorang lagi saksi, kata Hazin, 69. berkata: “Mangsa menjerit minta tolong dari dalam asrama namun asap tebal dan api marak menyukarkan kami untuk membantu mereka.”
Menurutnya, ketika itu dia sedang nyenyak tidur dan jeritan kuat menyebabkan dia terjaga dan berlari ke pusat tahfiz tersebut untuk menghulurkan bantuan.
“Saya cuba mencari jalan untuk masuk ke pusat tahfiz itu namun pintu gril berkunci hingga saya tidak mampu melakukan apa-apa.
“Bukan saya seorang sahaja, ada beberapa lagi jiran tetaangga yang menghulurkan bantuan dan kami sedaya upaya mencuba untuk memadamkan api kebakaran sebelum pihak bomba sampai,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, kira-kira 24 mangsa termasuk dua guru dipercayai maut akibat terhidu bau asap tebal.
Kejadian kebakaran didapati berlaku di tingkat dua bangunan tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 6.15 pagi sebelum padam sepenuhnya pada pukul 6.45 pagi.
Malah, difahamkan kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan dan kira-kira 24 mayat telah dikeluarkan manakala tujuh lagi yang terselamat cedera.
Sementara itu, seorang lagi saksi Nurhayati Abdul Halim, 46, berkata, dia hanya mampu menangis melihat kejadian itu memandangkan dia tidak mampu berbuat apa.
“Ahli keluarga saya menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan. Saya sangat terkejut dan kaku melihat kejadian itu kerana berlaku pertama kali di depan mata saya.
“Suara mereka meminta tolong masih terngiang-ngiang lagi dalam fikiran kerana mereka agak rapat dengan saya memandangkan asrama tersebut terletak di depan rumah saya,” ujarnya.
Setakat 10.30 pagi, seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran di pusat tahfiz.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam juga cedera. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story