Pertemuan Mesra Trump-Najib Bukti Hubungan Kukuh..



WASHINGTON DC – Kata orang bijak pandai: ‘Biarlah gambar berbicara.’ Namun foto ini yang turut disiarkan luas media antarabangsa tentunya menyebabkan pembangkang Malaysia kecewa habis!

Detik kemesraan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di lobi White House di sini pada Selasa nyata cukup mengejutkan pelbagai pihak di seluruh dunia sendiri.
Ia tentu mengecewakan kalangan yang berusaha bersungguh-sungguh hingga ke saat akhir memutar belit menerusi pelbagai cara termasuk media di AS memperlekehkan pertemuan penting dalam hubungan kedua-dua negara itu.
Trump malahan turun menyambut sendiri ketibàan Najib menaiki sebuah kenderaan rasmi tetamu negara pada pukul 11.45 pagi (11.45 malam waktu Malaysia) di pintu masuk West Wing gedung tersebut yang dikawal ketat.
Sebaik sahaja keluar dari kereta tersebut dan bersalaman, Trump yang sentiasa mengukir senyuman kemudian memperkenalkan setiap anggota pentadbiran Kabinetnya seorang demi seorang sebelum Najib dibawa masuk.
Mereka seterusnya mengadakan pertemuan empat mata di Oval Office iaitu ruang eksklusif pejabat Presiden AS bertugas sebelum diikuti dengan mesyuarat penuh delegasi antara kedua-dua negara dalam Cabinet Room.
Ini berbeza ketika era bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad bertemu George Bush, sudahlah terpaksa melobi ejen, bahkan tidak dijemput pun di pintu kereta dan staf White House juga tidak berbaris untuk diperkenalkan.
Najib ketika ini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke ibu negara kuasa besar dunia itu atas undangan Trump sempena menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Washington DC-Putrajaya sejak 1957.
Najib menyifatkan perbincangan dengan Trump sebagai “pertemuan yang positif dan mesra”. Dua pemimpin itu gembira berjabat tangan beberapa kali dan memaut lengan masing-masing semasa berjalan masuk dan keluar.
“Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun lepas, kami bermain golf satu pasukan. Ia pertemuan yang berjaya kerana pasukan kami menang. Perbincangan kami tadi banyak tertumpu kepada hubungan kedua-dua negara.
“Ia boleh berjaya dengan kerjasama erat,” katanya pada jamuan malam Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS di Hotel St. Regis. Trump, tokoh perniagaan dilantik sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu.
Tidak sampai setahun berada dalam pentadbiran, Trump memberikan penghormatan kepada Najib dengan jemput beliau hadir ke White House; layanan istimewa yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana ketua negara.
Pegawai yang berada di Rumah Putih berkata Trump mengiringi Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya hantar pemimpin berkunjung ke pejabat beliau, setakat di lantai utama.
“Trump diingatkan seorang pegawainya mengenai perkara itu tetapi beliau memberitahu akan iringi Najib sehingga ke tingkat bawah untuk ucap selamat jalan, Trump berkata beliau (Najib) sahabat saya,” menurut pegawai tersebut.
Delegasi Malaysia terdiri antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Turut serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Delegasi AS pula Naib Presiden, Mike Pence dan Setiausaha Negara, Rex Tillerson.
Barisan kepimpinan utama AS ketika pertemuan di White House itu dikatakan jelas mengambarkan bagaimana kuasa besar tersebut memberi perhatian penting dalam hubungan dengan kerajaan Malaysia diterajui Najib.
PM-TRUMP
“Kita perlu mengembalikan tahap interaksi kerana terdapat peluang besar bagi kedua-dua negara untuk meneroka lebih luas dan meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat,” kata Najib.
Bernama yang membuat liputan tersebut melaporkan perdana menteri berkata tahun lalu sahaja, syarikat-syarikat AS membawa masuk RM5 bilion, atau lebih daripada AS$1 bilion, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
AS merupakan pelabur asing kelima terbesar di negara ini dengan jumlah FDI bernilai RM36 bilion atau AS$8.5 bilion. Sepanjang tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan AS hanya berjumlah hampir AS$33 bilion.
Hadir sama pada jamuan itu ialah Presiden Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Alexander Feldman; Naib Presiden Kanan Dewan Perniagaan AS Sektor Asia, Tami Overby dan Duta Besar AS di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.
Apa yang pasti, pertemuan bersejarah Trump-Najib ternyata ‘mematikan’ tohmahan jahat pembangkang Malaysia selama ini mendakwa konon perdana menteri akan ditangkap CIA, FBI, DoJ di AS! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story