KUALA LUMPUR – “Trauma, tak tahu nak kata apa bila tiba-tiba seorang daripada anak-anak tahfiz itu jatuh depan mata saya, seorang lagi di belakang saya,” kata seorang saksi paling awal yang tiba di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini ketika pusat itu sedang dijilat api awal pagi tadi.
Ahmad Tirmizi Abdul Hamid, 46, sebak menceritakan detik yang tidak mampu digambarkan itu selain tidak menyangka beliau akan berdepan tragedi tersebut sebaik tiba di surau Al Madrasatul Ittifaqiyah yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu kira-kira 5.30 pagi tadi untuk solat subuh.
Beliau yang tinggal tidak jauh dari pusat tahfiz itu berkata ketika hendak berwuduk, beliau terlihat cahaya terang dari arah bangunan pusat tahfiz berkenaan, bagaimanapun tidak menyangka sesuatu yang pelik sedang berlaku.
“Sebaik selesai berwuduk saya pergi intai dari pagar surau ke kawasan asrama (bersebelahan surau). Saya terdengar anak-anak tahfiz menjerit … panas-panas…api-api…. Baru saya sedar ada kebakaran. Saya menjerit pada mereka agar keluar, segera turun sambil saya cuba mendapatkan alat pemadam api dari dalam pejabat tetapi gagal kerana pintunya berkunci.
“Saya cuba merempuh pintu pejabat tetapi gagal. Saya buntu dan tak tahu nak buat apa lagi. Ketika cuba menghampiri perkarangan pusat tahfiz itu langkah saya terhenti apabila seorang daripada anak itu jatuh betul-betul depan mata saya, seorang lagi jatuh di belakang saya dengan api membakar badan mereka,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Tirmizi berkata dengan bantuan seorang lagi penduduk yang juga datang bersolat di surau itu, mereka cuba memadamkan api pada badan kanak-kanak itu dengan kain basah.
“Pada masa itu saya langsung tak boleh fikir apa-apa lagi. Dalam masa sama saya juga risau dengan nasib anak-anak tahfiz yang lain yng berada di tingkat atas. Dalam hati, saya tidak putus-putus berdoa agar lebih ramai penduduk menyedari kejadian itu dan turut datang membantu.
“Sebelum bomba sampai, memang penduduk cuba bantu, tapi semuanya berlaku dalam sekelip mata, api makin besar dan kami juga turut terasa panas bahang api yang marak serta terhidu asap tebal kebakaran,” jelasnya.
Ahmad Tirmizi berkata beliau tidak mampu untuk mengingati lebih lagi tentang kebakaran yang berlaku kerana terlalu sedih kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan lebih ramai pelajar yang terperangkap di tingkat atas bangunan itu.
Kebanyakan jemaah surau berkenaan yang ditemui Bernama turut melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan tragedi memandangkan anak-anak pusat tahfiz berkenaan sering mengimarahkan surau itu dengan gelagat mereka yang sopan dan mesra dengan semua orang.
Lebih 300 penduduk kawasan berhampiran serta waris mangsa memenuhi ruang surau berkenaan untuk bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah serta mengadakan majlis bacaan Yassin.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang merupakan warden terkorban dalam kebakaran itu yang berlaku 5.15 pagi. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment