04 Ogos 2019 11:03 PM
IPOH - Juara bertahan Piala Malaysia, Perak menunjukkan taringnya di halaman sendiri untuk menumpaskan Juara Liga Perdana 2019, Sabah 3-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan bermula garang pada awal-awal babak pertama dengan menyusun gerakan untuk mendapatkan jaringan awal namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan masing-masing.Perak hampir mendapat jaringan awal menerusi pemain penyerang importnya, Raianderson Da Costa Morais atau Careca namun tandukannya ke gawang Sabah ditanduk keluar pemain pertahanan lawan pada minit ke-23.
Jaringan yang ditunggu penyokong setia Perak akhirnya terhasil pada minit akhir babak pertama apabila pemain tengah, Brendan Gan menyepak kencang bola dari luar kotak penalti selepas keadaan kelam-kabut di hadapan gawang Sabah.
Bersambung babak kedua, stadium kembali gamat dengan sorakan kegembiraan apabila Careca menghadiahkan gol kedua buat The Bos Gaurus selepas dia menyepak masuk bola ke gawang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim pada minit ke-51.
Pelawat cuba bangkit untuk mencari gol melalui beberapa percubaan namun gagal menghasilkan jaringan.
Pada minit akhir perlawanan, pemain tengah, Leandro Dos Santos mengejutkan pelawat selepas mudah menolak masuk bola muntah ke gawang Sabah untuk jaringan ketiga Perak.
Keputusan akhir Perak membenam Sabah 3-0 untuk memungut tiga mata penuh di hadapan lebih 3,000 penyokong kedua-dua pasukan. - K! ONLINE
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment