06 Ogos 2019 2:58 PM
KUALA KUBU BHARU - Perbuatan keji seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor sakit puan dan membuat gangguan seksual melalui panggilan seksual akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas empat pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap dua wanita Jun lalu.
Hakim Nurul Madhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Fauzi Abd. Ghani, 39, selepas tertuduh yang bekerja sebagai pembantu operasi di Jabatan Vaterinar Kuala Terengganu itu mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dua wanita yang kedua-duanya berusia 21 tahun yang dengan cara menghubungi mangsa melalui telefon dan menyuruh mangsa membuat aksi lucah .
Kesalahan terhadap kedua-dua mangsa itu didakwa dilakukan di Bandar Utama Ligamas Batang Kali, pukul 12.57 tengah hari pada 13 Jun lalu dan sebuah premis di Antara Gapi, Serendah, pukul 9.27 malam pada 25 Jun lalu.
Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa telah memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan terhadap kedua-dua mangsa yang sama sehingga menyebabkan mereka mempercayai tertuduh adalah penjawat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh,tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua bulan manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh dipenjara masing-masing penjara satu bulan.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan kerana merupakan penanggung utama keluarga.
"Saya pohon hukuman ringan, saya insaf dan saya juga menjaga ibu saya yang tidak berapa sihat," katanya.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Sabrina Abd. Rashid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah menghubungi mangsa melalui telefon bimbit masing-masing pada tarikh 13 Jun dan 25 Jun lalu.
Dalam perbualan dengan kedua-dua mangsa, tertuduh telah memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan.
Dalam kejadian 13 Jun tertuduh mengatakan mangsa telah mengalami kanser payu dara dan telah menyuruh mangsa membuka baju kononnya untuk memeriksa ketulan pada payudara wanita itu.
Sementara dalam kejadian 25 Jun pula mangsa diarah menanggalkan pakaian sambil menepuk buah dada dan menyuruh mangsa menggosok kemaluan kononnya bagi melancarkan hubungan intim antara mangsa dan bakal suami.
Tertuduh mematikan perbualan telefon selepas hanya terdengar suara ahli keluarga mangsa. - K! ONLINE
0 comments:
Post a Comment