Dalam operasi bermula pukul 4 petang di Jalan Bukit Kemendol, Telok Panglima Garang menyita 36 buah motosikal. 
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan aktiviti mat rempit yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai litar lumba bagi menguji jentera mereka. 
Beliau berkata, sebanyak 57 buah motosikal pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi hampir enam jam itu. 
"Daripada jumlah itu, sebanyak 36 buah telah disita dengan kebanyakannya telah melakukan pengubahsuaian di bahagian enjin, ekzos serta menggunakan tayar yang tidak sesuai.
"Motosikal yang disita termasuk jenis Yamaha Lagenda, Modenas Kriss, Yamaha Y15 dan Honda EX5,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 
Tambah Azizan, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 101 saman selepas menahan dan memeriksa 79 penunggang motosikal berusia antara 13 hingga 40 tahun.
"Kesalahan tidak memakai topi keledar mencatatkan jumlah saman paling tinggi iaitu 36 saman, diikuti tidak memiliki lesen dengan 21 saman. 
"Kesalahan lain yang dikesan adalah penunggang bawah umur (13 saman), cermin sisi (8) dan lain-lain," katanya.
Jelas beliau, kesemua motosikal yang disita itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE