Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua lelaki masing-masing memandu dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner itu sedang dalam perjalanan ke kelantan dengan membawa barang kemas milik majikan mereka.
Bagaimanapun, suspek yang menaiki kepala treler telah bertindak melanggar kenderaan pekerja berkenaan sebelum melarikan empat beg berisi barangan kemas.
Difahamkan, barangan kemas tersebut dibawa dari rumah majikan mereka yang terletak di kawasan perumahan berhampiran.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, sebaik sahaja dua buah kenderaan mangsa dilanggar, suspek yang menaiki kepala treler itu kemudiannya menghampiri mangsa dengan bersenjatakan parang.
Katanya, kesemua suspek yang memakai topeng itu bertindak merampas empat beg mengandungi barangan kemas sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti.
"Dalam rompakan itu, dua suspek dipercayai menaiki kepala treler tersebut manakala dua lagi menaiki kenderaan yang masih belum dikenal pasti. Siasatan mendapati treler yang digunakan itu adalah kenderaan yang dicuri di Klang pagi tadi.
"Seorang pekerja berusia 30-an mengalami kecederaan setelah terkena serpihan cermin yang pecah akibat dilanggar lori berkenaan dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Anuar, usaha mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri sedang dijalankan dengan menggerakkan semua elemen polis.
"Polis juga akan mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sepanjang lokasi kejadian bagi mengetahui gambaran sebenar kes tersebut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan," katanya. - K! ONLINE