Showing posts with label Agung. Show all posts
Showing posts with label Agung. Show all posts

Ucapan romantis Agong zahir penghargaan kepada Permaisuri mencuit hati

agong
Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) dan Tunku Hajah Azizah berkenan bergambar ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja hari ini.
KUALA LUMPUR - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencuit hati jemputan yang hadir pada perasmian 'Pameran Raja Kita' apabila bertitah menzahirkan ucapan terima kasih secara peribadi kepada Raja Permaisuri Agong yang bertungkus-lumus menjayakan istiadat pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah Seri Paduka, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberikan tumpuan sepenuhnya dan begitu teliti ketika melaksanakan persiapan bagi memastikan semua berjalan lancar.
"Khasnya, secara peribadi beta ucapkan terima kasih kepada isteri beta, isteri yang tersayang kerana banyak memberi tumpuan dan fokus untuk persiapan ini dilaksanakan dengan penuh 'perfection', begitu teliti dan begitu halusi.
"Beta percaya banyaklah kita peroleh daripada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri," titah Sultan Abdullah sebelum menyempurnakan Pameran Raja Kita, di Muzium Diraja, di sini.
Lebih manis, apabila Seri Paduka turut bertitah memaklumkan hari yang bertuah ini merupakan ulang tahun hari Tunku Azizah diputerikan.
"Beta juga ingin maklumkan di sini, 5 Ogos adalah hari lahir Raja Permaisuri. Sama-samalah kita berdoa supaya isteri beta ini dipanjangkan umur, pandai memasak, banyak lagi kita boleh belajar daripadanya, berada dalam keadaan sihat walafiat dan mudah-mudahan diberkati Allah SWT," titah Seri Paduka.
Pada kesempatan itu, Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada barisan menteri  Kabinet, warga Istana Negara serta semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh istiadat pertabalan itu.
"Kesempatan ini, untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), seterusnya barisan Kabinet, khasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab mengurus segala persiapan, pejabat Perdana Menteri, pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan juga Istana Negara," titah Sultan Abdullah.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara, disempurnakan pada Selasa lepas di Istana Negara secara gilang-gemilang dan penuh adat Kesultanan Melayu.
Sultan Abdullah kemudian menyempurnakan pameran itu, disusuli dengan pukulan gong sebanyak tiga kali oleh Tunku Azizah.
Sebanyak 198 koleksi peribadi Seri Paduka berdua termasuk barang hantaran dan dokumen pernikahan Seri Paduka Baginda berdua serta alat kebesaran diraja yang dipinjam dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Abdulaziz dan Istana Abu Bakar dipamerkan pada pameran itu. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Surat hasrat perjodohan Sultan Abdullah-Tunku Azizah di Muzium Diraja

Dokumen penting diraja akan dipamerkan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, Jalan Istana.
Dokumen penting diraja akan dipamerkan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, Jalan Istana. Foto oleh Bernama
KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini rakyat berpeluang menyelami kisah percintaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui laporan media, kini, bukti romantis penyatuan cinta pasangan diraja itu boleh disaksi secara 'fizikal'.
Bermula dari sepucuk surat hasrat untuk memperjodohkan Sultan Abdullah yang dihantar oleh Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah kepada ayahanda Tunku Azizah, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, hinggalah kepada dokumen pernikahan Seri Paduka berdua, item istimewa itu antara yang akan dipamerkan kepada umum pada 'Pameran Raja Kita' yang akan diadakan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, Jalan Istana.
"Pada pameran kali ini rakyat pasti akan tertarik dengan koleksi dua pucuk surat iaitu surat hasrat memperjodohkan Seri Paduka berdua yang diutuskan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan dikirim balas oleh Almarhum Sultan Iskandar yang menyatakan persetujuan terhadap hasrat itu.
"Selain itu, beberapa dokumen pernikahan seperti buku atur cara pernikahan, sijil nikah, serta alas tempat akad nikah turut dipamerkan," menurut Pengarah Muzium Diraja, Miti Fateema Sherzeella Mohd. Yusoff.
Bercakap kepada Bernama, Miti Fateema Sherzeela berkata, koleksi persalinan Seri Paduka berdua termasuk pakaian semasa majlis akad nikah dan acara memotong kek serta 'blouse' dengan gabungan rona merah, hitam dan kuning yang dipakai Tunku Azizah semasa janji temu pertama bersama Seri Paduka juga antara tarikan pada pameran yang akan berlangsung selama tiga bulan, bermula Selasa ini.
Sebanyak 198 koleksi peribadi Seri Paduka berdua serta alat kebesaran diraja yang dipinjam dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Abdulaziz dan Istana Abu Bakar akan dipamerkan pada pameran itu bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lepas.
Miti Fateema Sherzeella berkata, kesemua koleksi yang dipamerkan di Pameran Diraja itu diperoleh hasil kajian pihaknya bermula April lepas yang turut dibantu oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Arkib Negeri Pahang.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Koleksi Jabatan Muzium Zainal Ariffin berkata, selepas penyelidikan dijalankan dan koleksi dikenalpasti, pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan koleksi untuk dipamerkan.
"Tidak semua barang yang dikemukakan oleh pasukan yang menjalankan kajian awal akan diperoleh kerana ia perlu mendapat perkenan Seri Paduka dan terdapat juga koleksi yang dipilih sendiri Seri Paduka Raja Permaisuri untuk dipamerkan kepada rakyat," katanya.
Menjelas lanjut, Zainal berkata kesemua koleksi yang diperoleh akan diteliti oleh pasukan konservasi terlebih dahulu bagi menilai keadaannya sekiranya terdapat kerosakan yang perlu dibaik pulih.
Pasukan konservasi juga bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pencegahan kerosakan, pemantauan sistem kawalan suhu dan pencahayaan, pembungkusan serta pemeliharaan koleksi berharga itu.
"Antara contoh kerja konservasi yang dilakukan ialah sekiranya barang koleksi didapati berkulat pasukan konservasi akan mengilatkan semula barangan itu atau jika koleksi pakaian ada bahagian yang koyak dan manik tertanggal kita akan mencantum dan menjahit semula bahagian itu dengan teliti yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan," katanya.
Zainal berkata, setiap koleksi yang dipamerkan juga akan diinsuranskan dan dalam pengawalan ketat bagi memastikan keselamatan barangan itu sentiasa terjamin sepanjang proses perolehan, konservasi, pameran dan penghantaran semula semua barangan berharga itu.
Penolong Pengarah Bahagian Pameran dan Pengembangan Jabatan Muzium Malaysia, Rosidah Abdullah pula berkata, pameran kali ini menggunakan pendekatan baharu melalui aplikasi teknologi kod realiti terimbuh atau Augmented Reality' (AR) code, hologram dan interaktif.
Beliau berkata, lebih istimewa ialah kalung diraja dan gendik diraja iaitu antara pakaian istiadat diraja yang digunakan Raja Permaisuri Agong pada Istiadat Pertabalan, akan dipamerkan secara eksklusif hanya pada hari perasmian dan pembukaan kepada umum, Selasa ini.
"Bagaimanapun selepas hari berkenaan, ia hanya akan boleh dilihat oleh pengunjung melalui kaedah hologram," katanya.
Pameran yang menyasarkan 50,000 pengunjung itu terdiri daripada 12 segmen, antaranya sistem pemerintahan beraja, biografi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, sejarah kesultanan negeri Pahang, pakaian istiadat pertabalan dan proses pemilihan dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pertabalan: Putera Mahkota Abu Dhabi tiba untuk hadiri Istiadat Pertabalan


SEPANG - Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan selamat tiba di sini pagi ini bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 8.46 pagi disambut oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Baginda merupakan antara tetamu jemputan diraja dari luar negara bagi menghadiri istiadat pertabalan itu selain Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang telah tiba semalam.
Sheikh Mohamed Zayed juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabatnya di Putrajaya petang ini sebelum berangkat pulang malam ini. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Istiadat Pertabalan Agong hari ini


KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi akan menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.
Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara di sini itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Rata-rata rakyat ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara.
Sempena istiadat itu, kerajaan mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum dan upacara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi saluran-saluran televisyen tempatan bermula pukul 9 pagi.
Suri rumah, Junaidah Kamal, 50, ketika ditemuiBernama berkata, dia sekeluarga akan memastikan tidak terlepas me­nyaksikan acara bersejarah itu dan sudah membuat peringatan pada sistem dekoder televisyen di rumahnya.
“Saya akan pastikan anak-anak saya bangun awal esok (hari ini) supaya mereka dapat menonton acara bersejarah negara untuk mempelajari keunikan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan,” katanya.
Al-Sultan Abdullah yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran raja-raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.
Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lepas menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Maj­lis Raja-Raja, 24 Januari lalu.
Seri Paduka melafaz sum­pah dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 31 Januari lalu. – Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join
https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Busana DiRaja: Sentuhan magis Rizalman untuk Permaisuri Agong




KUALA LUMPUR - Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok bukan sahaja mencatat sejarah penting untuk negara, tetapi bakal meninggalkan kenangan terindah buat  pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim.
Debar pastinya beritma di dada beliau kerana selepas beberapa bulan bertungkus-lumus menyiapkan busana untuk Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sentuhan magis beliau akhirnya disarung sebagai persalinan rasmi Raja Permaisuri Agong yang menaiki takhta persada negara di samping suami tercinta.
"Baginda bertitah yang mana persalinan yang akan dikenakan biar rakyat meneka dan melihat sendiri pada pagi tersebut," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena istiadat pertabalan itu di butik miliknya di sini, baru-baru ini.
Menurut Rizalman, pengalaman selama 15 tahun menjadi 'tukang jahit' Tunku Azizah sekeluarga membolehkan beliau memahami dan memenuhi 'gaya fesyen' Tengku Ampuan Pahang itu dalam menghasilkan persalinan yang bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi turut menepati imej seorang wanita muslimah.
Menurut Rizalman, beliau telah dipertanggungjawabkan membuat rekaan dan menjahit enam persalinan milik Tunku Azizah sempena istiadat tersebut termasuk busana daripada fabrik tenun Pahang hasil tenunan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong Pahang yang diilhamkan baginda sendiri. 

"Ini satu sejarah apabila Raja Permaisuri Agong mengenakan busana Tenun Pahang yang dihasilkan oleh penghuni penjara. Saya diberi tugas untuk menyulam kerawang dan jahit persalinan itu agar ia nampak lebih sempurna daripada koordinasi warna, sulaman, selendang dan sebagainya, antara warna-warna pakaian yang akan membuatkan baginda kelihatan lebih menawan ialah biru firus (turquoise), putih gading dan kuning. 
"Bukan mudah untuk membuatkan enam persalinan yang dinantikan seluruh rakyat jelata di mana dari segi sulaman ia memakan masa hampir sebulan bagi sehelai pakaian," katanya yang turut dipertanggungjawab menyiapkan 12 lagi persalinan untuk anakanda-anakanda Tunku Azizah.
Menyentuh potongan busana yang menjadi pilihan Tunku Azizah, Rizalman berkata, sehingga kini beliau masih mengekalkan rekaan kurung moden kolar bulat dengan bahu berkedut  yang menjadi 'trademark' baginda, seperti yang digayakan ketika beliau mula melihat baginda menerusi muka hadapan sebuah majalah.
"Ketika saya mula reka baju untuk Tunku Azizah, baginda telahpun berhijab. Jadi, saya tambah selendang nipis yang menutup bahagian depan badan, lebih selari dengan penampilan seorang muslimah," katanya sambil mengimbau rekaan pertamanya kepada baginda iaitu busana kurung moden menggunakan kain renda berwarna putih dan hitam.
Selain pakaian, Rizalman yang juga terkenal sebagai pereka hiasan dalaman turut memberi sentuhannya dalam menata rias Balairong Seri Istana Negara pada hari bersejarah itu dengan menerapkan elemen daripada istana lama. 
"Antaranya di belakang singgahsana akan diletakkan beberapa helaian kain mirip istana lama dahulu. Selain itu, baginda berdua akan bersemayam di atas kerusi yang pernah digunakan oleh kedua-dua almarhum ayahanda baginda (Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah)," katanya. 
Lebih istimewa, Rizalman berkata, kain songket dari Brunei yang ditempah oleh Tunku Azizah sendiri akan digunakan sebagai alas kerusi ketika berlangsungnya istiadat tersebut. 
Dalam temu bual berkenaan, bapa kepada dua anak lelaki itu turut berkongsi kenangan manis beliau sepanjang mengenali Tunku Azizah apabila baginda sudi mencemar duli berkongsi dapur di rumahnya. 
"Saya amat kagum dengan ilmu memasak baginda yang saya kira punya daya ingatan yang sangat luar biasa. Tanpa perlu rujuk semula resepi pun baginda boleh ingat setiap satu sukatan dengan tepat apabila ditanya bila-bila masa," katanya. 
- Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Agong Puji Pelajar Malaysia Kerja Tukang Cuci Di UK



KUALA LUMPUR – Kisah seorang pelajar Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci ketika menuntut di United Kingdom semata-mata untuk menghadiahkan tiket penerbangan kepada kedua ibu bapanya hadir ke majlis graduasinya bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Malaysia tetapi mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pujian kepadanya.

Muhammad Afiq Ismail, 23, dari Kuala Krai, Kelantan seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu bekerja sambilan sehingga 20 jam sehari, dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, UK.
Kerana tersentuh dengan kisah hidup dan mengagumi usahanya yang bekerja keras dan dedikasi, Seri Paduka dalam satu kenyataan kepada media, menzahirkan ucapan tahniah kepada Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.
“Seri Paduka juga kagum dengan sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan dia mencapai tahap kejayaan ini. Perjalanan hidup Afiq dan kedua orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua,” titah baginda.
Kisah Muhammad Afiq baru-baru ini dikongsi di Facebook oleh rakannya dan sejak itu telah tular di media sosial.
Menurut akhbar tersebut, graduan perakaunan dan kewangan itu kini membuat persiapan untuk kembali ke tanah air untuk memulakan kerjaya profesional di sebuah firma audit pada Oktober.
Kredit to mynewshub
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story