Debar pastinya beritma di dada beliau kerana selepas beberapa bulan bertungkus-lumus menyiapkan busana untuk Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sentuhan magis beliau akhirnya disarung sebagai persalinan rasmi Raja Permaisuri Agong yang menaiki takhta persada negara di samping suami tercinta.
"Baginda bertitah yang mana persalinan yang akan dikenakan biar rakyat meneka dan melihat sendiri pada pagi tersebut," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena istiadat pertabalan itu di butik miliknya di sini, baru-baru ini.
Menurut Rizalman, pengalaman selama 15 tahun menjadi 'tukang jahit' Tunku Azizah sekeluarga membolehkan beliau memahami dan memenuhi 'gaya fesyen' Tengku Ampuan Pahang itu dalam menghasilkan persalinan yang bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi turut menepati imej seorang wanita muslimah.
Menurut Rizalman, beliau telah dipertanggungjawabkan membuat rekaan dan menjahit enam persalinan milik Tunku Azizah sempena istiadat tersebut termasuk busana daripada fabrik tenun Pahang hasil tenunan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong Pahang yang diilhamkan baginda sendiri. 

"Ini satu sejarah apabila Raja Permaisuri Agong mengenakan busana Tenun Pahang yang dihasilkan oleh penghuni penjara. Saya diberi tugas untuk menyulam kerawang dan jahit persalinan itu agar ia nampak lebih sempurna daripada koordinasi warna, sulaman, selendang dan sebagainya, antara warna-warna pakaian yang akan membuatkan baginda kelihatan lebih menawan ialah biru firus (turquoise), putih gading dan kuning. 
"Bukan mudah untuk membuatkan enam persalinan yang dinantikan seluruh rakyat jelata di mana dari segi sulaman ia memakan masa hampir sebulan bagi sehelai pakaian," katanya yang turut dipertanggungjawab menyiapkan 12 lagi persalinan untuk anakanda-anakanda Tunku Azizah.
Menyentuh potongan busana yang menjadi pilihan Tunku Azizah, Rizalman berkata, sehingga kini beliau masih mengekalkan rekaan kurung moden kolar bulat dengan bahu berkedut  yang menjadi 'trademark' baginda, seperti yang digayakan ketika beliau mula melihat baginda menerusi muka hadapan sebuah majalah.
"Ketika saya mula reka baju untuk Tunku Azizah, baginda telahpun berhijab. Jadi, saya tambah selendang nipis yang menutup bahagian depan badan, lebih selari dengan penampilan seorang muslimah," katanya sambil mengimbau rekaan pertamanya kepada baginda iaitu busana kurung moden menggunakan kain renda berwarna putih dan hitam.
Selain pakaian, Rizalman yang juga terkenal sebagai pereka hiasan dalaman turut memberi sentuhannya dalam menata rias Balairong Seri Istana Negara pada hari bersejarah itu dengan menerapkan elemen daripada istana lama. 
"Antaranya di belakang singgahsana akan diletakkan beberapa helaian kain mirip istana lama dahulu. Selain itu, baginda berdua akan bersemayam di atas kerusi yang pernah digunakan oleh kedua-dua almarhum ayahanda baginda (Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah)," katanya. 
Lebih istimewa, Rizalman berkata, kain songket dari Brunei yang ditempah oleh Tunku Azizah sendiri akan digunakan sebagai alas kerusi ketika berlangsungnya istiadat tersebut. 
Dalam temu bual berkenaan, bapa kepada dua anak lelaki itu turut berkongsi kenangan manis beliau sepanjang mengenali Tunku Azizah apabila baginda sudi mencemar duli berkongsi dapur di rumahnya. 
"Saya amat kagum dengan ilmu memasak baginda yang saya kira punya daya ingatan yang sangat luar biasa. Tanpa perlu rujuk semula resepi pun baginda boleh ingat setiap satu sukatan dengan tepat apabila ditanya bila-bila masa," katanya. 
- Bernama