Istiadat yang akan berlangsung di Istana Negara di sini itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Rata-rata rakyat ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara.
Sempena istiadat itu, kerajaan mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum dan upacara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi saluran-saluran televisyen tempatan bermula pukul 9 pagi.
Suri rumah, Junaidah Kamal, 50, ketika ditemuiBernama berkata, dia sekeluarga akan memastikan tidak terlepas me­nyaksikan acara bersejarah itu dan sudah membuat peringatan pada sistem dekoder televisyen di rumahnya.
“Saya akan pastikan anak-anak saya bangun awal esok (hari ini) supaya mereka dapat menonton acara bersejarah negara untuk mempelajari keunikan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan,” katanya.
Al-Sultan Abdullah yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran raja-raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.
Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lepas menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Maj­lis Raja-Raja, 24 Januari lalu.
Seri Paduka melafaz sum­pah dan menandatangani surat sumpah jawatan pada 31 Januari lalu. – Bernama