Ampang Jaya: Lepak santai di restoran sambil menikmati teh selepas membakar rumahnya sendiri.
Itu gelagat aneh seorang lelaki berusia 36 tahun yang dikesan menyebabkan kediamannya di Taman Bukit Teratai di sini, rentung hampir 100 peratus.
Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, lelaki itu dikatakan bermain api seorang diri hingga menyebabkan tilam di bilik tidurnya terbakar.
Lelaki terbabit kemudian terjun daripada balkoni ke rumah jiran dan keluar berjalan ke sebuah restoran berhampiran sebelum dilihat minum seorang diri.
Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Soh, 62, berkata, dia segera mengambil alat pemadam api dan masuk ke rumah jiran itu sejurus menyedari berlaku kebakaran.
Katanya, dia terpaksa menggunakan dua alat pemadam api namun masih gagal untuk memadamkan kebakaran sebelum menghubungi bomba.
“Ketika itu saya dapati pemilik rumah hilang dari kediamannya. Malah pintu hadapan rumah dibiarkan terbuka tanpa berkunci.
“Pemilik rumah dipercayai mengalami sakit mental sejak beberapa bulan lalu dan kerap membuat bising terutama pada waktu malam,’ katanya.
Katanya, lelaki itu hidup sebatang kara di rumah berkenaan selepas menghalau isteri, anak serta bapanya beberapa bulan lalu.
“Sudah beberapa kali kami melihat dia membakar sampah-sarap di dalam kawasan rumahnya. Tetapi kami tidak berani untuk menegurnya kerana bimbang lelaki itu akan mengamuk.
“Penduduk di sini juga sudah beberapa kali membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya mengerahkan 11 anggota dan dua jentera bomba ke lokasi kejadian.
Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan pada jam 8.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek yang juga pemilik rumah berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian dan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.
“Suspek disyaki lelaki yang menghadapi masalah kemurungan dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam. -hmetro
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment