Showing posts with label bersenjata. Show all posts
Showing posts with label bersenjata. Show all posts

28 individu direman lima hari berhubung rusuhan bersenjata di kuil

SERANG POLIS
Sebahagian daripada 28 lelaki yang telah ditangkap sekitar Kuala Selangor dan polis turut merampas lima bilah senjata tajam bersama mereka.
SHAH ALAM - Seramai 28 individu kini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rusuhan bersenjata di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 18 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Assayidatun Najwa Muhammad Nasution di Mahkamah Majistret Kuala Selangor. 
Katanya, mereka kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut. 
"Kesemua 28 individu itu dibenarkan reman selama lima hari mulai hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Terdahulu, dalam kejadian pukul 9.15 malam tadi seorang anggota polis lelaki berpangkat Koperal berusia 34 tahun dari Balai Polis Bestari Jaya cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan. 
Turut cedera adalah seorang pelajar lelaki sebuah kolej berusia 25 tahun yang putus tapak tangan kiri dan dirawat di Hospital Sungai Buloh. 
Fadzil menjelaskan rusuhan dikatakan berpunca daripada pemasangan khemah antara dua kumpulan tersebut secara berhadapan antara satu sama lain semasa perarakan Chariot (perarakan pedati) di kuil tersebut.
"Pada mulanya hanya berlaku pertengkaran sebelum menjadi pergaduhan menggunakan parang. 
"Susulan itu, seramai 28 suspek telah ditahan sejak malam tadi selain turut merampas lima bilah senjata tajam," katanya. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Barang kemas lebih RM1 juta dilarikan 4 perompak bersenjata

samun
Barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dipercayai dilarikan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini awal pagi tadi.
IPOH - Empat perompak bertopeng dan bersenjata hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melarikan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta dalam satu rompakan di Jalan Chin Hwa di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua lelaki masing-masing memandu dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner itu sedang dalam perjalanan ke kelantan dengan membawa barang kemas milik majikan mereka.
Bagaimanapun, suspek yang menaiki kepala treler telah bertindak melanggar kenderaan pekerja berkenaan sebelum melarikan empat beg berisi barangan kemas.
Difahamkan, barangan kemas tersebut dibawa dari rumah majikan mereka yang terletak di kawasan perumahan berhampiran.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, sebaik sahaja dua buah kenderaan mangsa dilanggar, suspek yang menaiki kepala treler itu kemudiannya menghampiri mangsa dengan bersenjatakan parang.
Katanya, kesemua suspek yang memakai topeng itu bertindak merampas empat beg mengandungi barangan kemas sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti.
"Dalam rompakan itu, dua suspek dipercayai menaiki kepala treler tersebut manakala dua lagi menaiki kenderaan yang masih belum dikenal pasti. Siasatan mendapati treler yang digunakan itu adalah kenderaan yang dicuri di Klang pagi tadi.
"Seorang pekerja berusia 30-an mengalami kecederaan setelah terkena serpihan cermin yang pecah akibat dilanggar lori berkenaan dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Anuar, usaha mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri sedang dijalankan dengan menggerakkan semua elemen polis.
"Polis juga akan mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sepanjang lokasi kejadian bagi mengetahui gambaran sebenar kes tersebut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan," katanya. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story