KOTA BHARU: Seorang bayi berusia 15
bulan yang baru belajar berjalan, mati lemas di Sungai Kuala Besar,
berhampiran rumah keluarganya Kampung Pantai Mek Mas, di sini, selepas
keluar dari rumah seorang diri tanpa disedari ibunya yang sibuk membasuh
pakaian, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari
itu, Nik Mohamad Iqbal Hazim Nik Roslan yang baru boleh berjalan sejak
dua bulan lalu, dikatakan keluar melalui pintu depan rumah sebelum
mayatnya ditemui terapung di sungai yang terletak kira-kira lima meter dari rumah.
Ibunya, Lini Abdullah, 27, berkata
ketika kejadian, dia membasuh pakaian di bilik air, anak kedua, Nik
Mohamad Ikram Amir, 9, turut berada di dalam rumah manakala anak sulung,
Nik Nadia Izzati, 10, bermain di luar.
“Apabila selesai membasuh, baru saya sedar kehilangan Iqbal dan
segera mencarinya di sekitar kawasan rumah hingga ke rumah sepupu,
tetapi gagal menemuinya.
“Selepas 15 minit mencari, saya ke
sungai dan terkejut apabila mendapati mayat bayi terapung di permukaan
air. Saya terus meluru dan mengangkat mayat itu. Luluhnya hati saya
apabila mendapati ia memang jasad anak saya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment