Musa Hassan Terus ‘Diserang’ Walaupun Dah Pencen!



Nampaknya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan terus ‘diserang’ habis-habisan walaupun telah lama bersara daripada jawatan tertinggi pasukan beruniform itu.
Terbaru, dalam laman web Malaysiakini, beliau dituduh mempunyai kaitan dengan ‘ketua’ kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau juga dikenali sebagai Tengku Goh pada 2007.
Kononnya, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati Musa yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor – telah menutup pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, tetapi pada masa yang sama membantu “menyusunkan semula” beberapa sindiket berkenaan yang beroperasi di bawah “sistem payung” dikawal oleh Tengku Goh.
Berbekalkan maklumat daripada pemberi maklumat, JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan dan diletakkan dibawah tahanan kediaman terhad.
Bagaimanapun Musa tidak menunggu lama untuk membidas dakwaan tersebut.
Dalam satu laporan yang dipetik daripada laman The Star, Musa menafikan segala tuduhan tersebut.
” Mereka yang membuat tuduhan itu sungguh tidak bertanggung jawab dan sengaja mahu menimbulkan masalah.
” Kami semua, termasuk saya serta Peguam Negara, telah disiasat Badan Pencegah Rasuah (sekarang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan telah disahkan bebas daripada sebarang salah laku,” katanya.
Sehubungan itu, Musa berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang membuat dakwaan tersebut.
Untuk rekod, Musa bersara dua tahun lepas setelah 41 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.
Sebelum menyandang jawatan KPN, Musa pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ketua Polis Johor, Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Penolong Pengarah Pendakwa/Undang-Undang di JSJ Bukit Aman dan Pengarah Latihan B di Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Beliau juga pernah menjadi Pensyarah Sekolah Undang-Undang di Maktab Polis Kuala Kubu Baharu, Pegawai Turus Rekod/Perangkaan JSJ Cawangan Anti Dadah (sekarang Cawangan Narkotik), Pegawai Pendakwa JSJ di Alor Gajah, Melaka dan Inspektor Siasatan Khas di JSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
Musa memiliki kelulusan dalam jurusan undang-undang dari University of Wales, Bangor di United Kingdom dan pernah mengikuti kursus di luar negara seperti Penguatkuasaan Undang-Undang Narkotik di Australia, Penguatkuasaan Dadah di Thailand dan Program Pengurusan Lanjutan Oxford di United Kingdom.
Beliau dilahirkan dalam keluarga yang berjaya di mana bapanya, Tan Sri Hassan Azahari adalah seorang tokoh agama terkenal tanah air. – Oleh SYAHRIL A. KADIR (mynewshub.my)

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story