OGY BATALKAN SAMAN TERHADAP JOHAN RAJA LAWAK


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) telah membatalkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak Johan (Raja Lawak) kerana berpendapat enggan memanjangkan isu tersebut.
Terdahulu, aktres itu dilaporkan berasa kecil hati dan terhina akibat sikap celupar mulut pelawak itu yang mempersendakan dia dan Allahyarham ibu bapanya iaitu seniman Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada November tahun lalu.
Ogy berkata keputusan itu diambil kerana dia sudah berasa sejuk hati dan memaafkan keterlanjuran pelawak itu.
“Industri kita bukan besar mana pun. Mungkin pada masa akan datang kami akan bekerjasama. Buat apa panjang-panjangkan hal macam ini.
“Memang betul saya berasa marah dengannya sebelum ini tetapi selepas beberapa ketika saya mula sejuk hati dan sudah memaafkan dia,” katanya.
Ogy berkata demikian pada majlis memperkenalkan protege program Mentor musim keenam (Mentor 6) di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.
Ogy berkata dia membuat keputusan drastik itu selepas mendapat petunjuk daripada Allah.
“Sebelum ini, saya terasa hati dan ralat dengannya apabila dia ketawa dengan teguran saya mengenai gurauannya itu selepas acara tersebut.
“Alhamdulillah, kini saya berasa lebih tenang selepas memaafkan Johan dan kemarahan itu sudah reda,” katanya.
Ogy juga berkata, dia percaya insiden itu mempunyai hikmah dan memberikan pengajaran kepada Johan agar lebih peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling khususnya ketika mengacara atau berlawak di depan khalayak.
Dalam perkembangan lain, Ogy yang memilih Noor Nazatul Farahin, 23, (Zatul) sebagai protege untuk (Mentor 6), berkata daya ketahanan dan kesungguhan gadis dari Bedong, Kedah itu memikat hatinya untuk membimbing Zatul menjadi anak seni berjaya kelak.

Proses pemilihannya tidak berlaku dengan mudah, selepas empat kali saya melihat Zatul benar-benar mempunyai ketahanan dan semangat yang tinggi untuk menceburi bidnag seni.
“Saya minta dia kosongkan minda daripada pengalaman dan ilmu seni yang lepas dan mahu serapkan semua ilmu baru kepadanya, ibarat mencorakkan kain putih,” katanya yang bekerjasama dengan pengacara Nizal Muhammad dan Izatt Artistic Team dalam membentuk protege itu.
Selain Ogy dan protegenya Zatul, (Mentor 6) turut membariskan Ella bersama protege Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, (Caroline), Ramlah Ram dan protege Ana Syuhada Noor Asram, 21 (Ana Syuhada).
Faizal Tahir pula mempertaruhkan Anas Ridzuan, 23, (Anas), Ferhad dengan Salwani Sawi, 18, (Wanie) dan Adam dengan protegenya Abd Kadir Unding Lana, 23 (KJ).
Masih lagi diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi, konsert mingguan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 18 Mac ini pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.

1 comments:

Review Filem: JOHN CARTER (klik) said...

bagusla...

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story