LIYANA JASMAY DALAMI ILMU FILEM DI NEW YORK


Liyana Jasmay Dalami Ilmu Filem Di New York
SAAT ini lagunya hebat diputarkan di corong radio dan ramai yang menyangkakan Cinta Bersatu didekasikan khas oleh Liyana Jasmay, 24, buat tunangannya, Fathuddin Mazlan, 28, berdasarkan bait lirik romantis yang mengiringi melodi indah lagu hasil nukilan kumpulan Tilu itu.
Nyawa yang diberikan vokal Liyana Jasmay terasa hidup dan buat pertama kali mendengarnya pasti tidak menyangka ia dinyanyikan gadis mesra disapa Nana atau LJ itu. Terasa benar dia sedang dilamun asmara dan bahagia meniti hari bersama insan teristimewa.
“Ramai yang beri komen suara saya lain sedikit ketika menyanyi lagu itu jika hendak dibandingkan dengan Aku Tak Percaya Cinta. Entahlah, saya rasa sama saja.
“Tetapi saya tidak nafikan, ketika merakamkan lagu berkenaan, saya benar-benar dapat menghayatinya mungkin kerana lirik Cinta Bersatu itu kena dengan perasaan yang sedang saya alami.
“Seingat saya, saya meminta Tilu menghasilkan sebuah lagu single yang bersesuaian vokal dan muziknya haruslah sepadan dengan imej saya. Namun, saat mereka menyerahkan lagu itu ke tangan saya dan selepas mengamati liriknya, saya terasa yang lagu ini seperti kisah saya dan Fathuddin.
“Sebelum ini ramai yang menyangkakan Cinta Bersatu itu adalah luahan perasaan saya terhadap Fathuddin, sebenarnya ia hanyalah satu kebetulan.
“Saya juga sempat memperdengarkan lagu itu kepada Fathuddin sebelum ia dimainkan di radio. Tambah membuatkan saya terharu apabila dia menyukai lagu itu,” katanya yang semakin berseri-seri.
Atas sambutan baik yang diterima pendengar, LJ merancang untuk menghasilkan lebih banyak single, sekali gus muncul dengan album keduanya yang disifatkan lebih matang bukan saja dari segi vokal tetapi juga penampilan.
Tiada lagi imej penyanyi pujaannya, Arvil Lavigne, Liyana kini memilih imej yang menyerlahkan kewanitaannya lantaran usianya kini 24 tahun, selain status tunangan orang.
“Saya sudah tidak boleh membawa imej rock atau ‘funky’ seperti sebelum ini kerana Fathuddin pesan kepada saya, dia tidak mahu lihat saya berpakaian seperti budak-budak kerana saya bukan lagi anak kecil. Saya akan jadi isterinya dan mahu lihat saya sebagai orang wanita.
“Gaya ‘skirt’ pendek dan stoking juga sudah tidak boleh….hahaha! (ketawa).
Katanya, lebih cantik kalau berpakaian ringkas dan feminin. Jadi penampilan saya untuk album kedua nanti, ada sedikit perubahan dan kelainan,” katanya.
Baru saja menyelesaikan penggambaran filem Tokan arahan pengarah baru, Ghaz Abu Bakar, LJ kini dikhabarkan sibuk mempersiapkan diri menghadapi penggambaran filem Isyarat Cinta arahan Bade Hj Azmi termasuk Fiksi-Fixie.
Fiksi-Fixie adalah telefilem terbitan produksi miliknya sendiri, Mermaid Studios yang sebelum ini muncul dengan produk pertama, Tudung Tweet dan Paris Masuk Kampung.
Meskipun saat ini dia terlalu banyak urusan perlu di selesaikan, namun sukar untuknya menolak tawaran Bade kerana naskhah yang diberikan kepadanya kali ini amat menarik.
“Uncle Bade hubungi saya dan memaklumkan ada sebuah filem ingin dihasilkannya tahun ini dan watak utama itu dibuat khusus untuk saya. Menerusi filem Isyarat Cinta ini, saya akan memainkan watak gadis buta tetapi bukan sejak azali dan dia menjadi sebegitu kerana disebabkan satu kejadian.
“Watak seperti ini sudah lama saya nanti-nantikan kerana itu dalam banyak urusan yang belum selesai, saya paksa diri untuk melakukannya. Secara keseluruhan watak filem yang saya terima tahun ini memang bagus dan menarik.
“Filem Tokan misalnya, saya bawakan watak gadis yang membuat kajian mengenai isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Dalam pembongkaran yang dilakukannya itu, tanpa disangka-sangka bapanya sendiri terbabit kegiatan haram itu,” katanya.
Kurang sebulan dari sekarang, dia akan meninggalkan negara ini bagi mengikuti kursus jangka pendek perfileman di New York, Amerika Syarikat.
Bermastautin selama enam bulan di sana ditemani ibu tersayang, Habsah Simpon, pemergian itu dengan rasa hati yang cukup berat.
Masakan tidak dihambat resah, apabila harus meninggalkan cinta hatinya, Fathuddin Mazlan sendirian di sini. Tambahan pula, dugaan orang bertunang datangnya dalam pelbagai cara.
Namun, gadis yang penuh dengan cita-cita dan impian sepertinya, Liyana mengakui dia harus cekal dan menolak perasaan lekas cemburu dan curiga.
“Kalau ikutkan kami memang jarang berjumpa kerana Fathuddin menetap di Sabah menguruskan perniagaan di sana selain saya sibuk dengan penggambaran. Tetapi paling lama tak jumpa pun dua minggu saja.
“Berpisah dalam tempoh berbulan-bulan belum pernah dan disebabkan itu, terkadang saya rasa berat hati. Tetapi saya tidak boleh mengetepikan masa depan hanya kerana perasaan yang sebenarnya kita sendiri boleh kendalikan dengan baik jika kita sedikit sabar dan percaya pada pasangan.
“Fathuddin sendiri memberi sokongan yang kuat untuk saya ke New York. Katanya, tidak perlu risaukan dia di sini dan minta saya jaga diri. Dia juga berjanji untuk menjenguk saya di sana nanti.
“Mujurlah saya tidak sendirian kerana Mama menemani. Kalau tidak tak tahulah macam mana. Tetapi saya pula kesiankan kakak dan abang saya termasuk ayah kerana mereka terpaksa berjauhan dengan mama. Saya harap mereka semua dapat sertai kami berdua dan menyambut Aidilfitri di New York nanti,” katanya. – Metro

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story