Terkilan, malu dan terasa! Itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh penyampai radio dan pengacara popular, Linda Onn setelah digelar ‘bengong’ oleh seorang pelawak di sebuah majlis yang diadakan pada bulan Syawal yang mulia. Menurut Linda, ini pertama kali dia mengalami pengalaman sedemikian dan nyata terkejut apabila di perlakukan sedemikian.
Walaupun ianya tidak digembar-gemburkan, perkara ini harus diperjelaskan agar ianya tidak berulang kepada pengacara dan pelawak lain. Portal murai.com.my telah menghubungi Linda Onn sendiri setelah membaca status laman rasmi Twitternya yang ditulis Linda pada minggu lalu.
“Dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh Tengku Mahkota, Perdana Menteri dan isteri, Menteri Besar, kenamaan dan jemputan yang lain saya telah dipanggil ‘bengong’ dan dia (pelawak) telah menunjukkan jari kepada saya dan mengarahkan saya turun dari pentas.
“Saya kurang jelas mengenai maksud sebenar dia berbuat demikian, namun begitu bagi saya dalam keterujaan berlawak masih ada batas dan etikanya. Ketika di panggil demikian saya tergamam, dan tidak tahu apa yang perlu saya buat.
“Ini bukan pertama kali saya berkongsi pentas dengan pelawak. Walaupun mereka ada ‘lesen besar’ untuk berlawak tetapi sesama pelawak mungkin mereka sudah arif dengan cara masing-masing. Tetapi sebagai pengacara saya kurang selesa apabila digelar sedemikian rupa,”ujarnya yang merasakan tindakan pelawak itu seolah menjatuhkan air mukanya.
Linda yang pernah mengacara bersama pelawak lain seperti Saiful Apek, Zizan, Sharifah Shahira dan Sepah namun dia tidak pernah mengalami situasi yang memalukan dirinya. Baginya jika mengadakan persembahan terbuka, pelawak malah pengacara harus tahu etika dan had beraksi di atas pentas.
Pelawak itu juga tidak bertindak memohon maaf atau merasakan tindakannya itu keterlaluan menurut Linda lagi. Namun bagi Linda dia terkilan dengan apa yang berlaku dan berharap ia menjadi pengajaran kepada pelawak lain supaya lebih peka kala berjenaka.
“Mungkin bagi pelawak tersebut, ia merupakan satu senda gurauan atau cara mereka berinteraksi. Saya pun tidak menuntut dia memohon maaf tetapi sedikit terkilan dan rasa dimalukan di hadapan tetamu yang hadir.
“Pasangan pengacara saya ketika majlis tersebut berlangsung juga terkejut namun kami hanya meneruskan tugas kami,”jelasnya yang nyata kesal diperlakukan sedemikian.
Linda juga berkata, sebagai individu yang sudah lama mengacara dia berharap para pelawak atau sesiapa sahaja yang bertindak melakukan persembahan terbuka bersikap lebih peka dengan keadaan sekeliling.
“Semua gerak laku kita diperhatikan dan setiap tutur yang diucapkan harus lebih berhati-hati agar tidak mengguriskan perasaan sesiapa yang ada menonton ketika itu, apatah lagi jika selebriti popular yang sering menjadi perhatian”pesannya lagi. (Murai.com.my)
0 comments:
Post a Comment