Pernah Langgar Rumah Sendiri, Anzalna Fobia


Pernah Langgar Rumah Sendiri, Anzalna Fobia
KUALA LUMPUR : Pelakon wanita muda, Anzalna Nasir jujur mengakui dia masih lagi tidak mempunyai lesen memandu walaupun usianya sudah pun mencecah 24 tahun.
Bagi aktres cantik itu, bukan dia tidak mahu mengambil lesen kereta, tetapi memandangkan dia pernah mengalami nasib yang buruk, keadaan itu membuatkan dia fobia untuk memandu.
Semuanya kerana ketika dia berumur 22 tahun, dia pernah melanggar rumahnya sendiri ketika cuba untuk menjalani latihan memandu kereta.
Ekoran dari perasaan takut dan tidak yakin, Anzalna tidak mahu meneruskan proses pembelajaran membawa kereta.
“Sebelum ini ketika berumur 22 tahun saya ada cuba belajar memandu, tetapi kerana tidak yakin, saya pernah melanggar rumah sendiri.
“Sejak daripada itulah keberanian saya untuk memandu semakin berkurangan,” kata Anzalan seperti dalam laporan akhbar Sinar Harian hari ini.
Disebabkan dia sukar untuk bergerak sendiri, Anzalna sering menggunakan khidmat kekasihnya untuk membawa dirinya ke lokasi penggambaran.
Pun begitu, keluarga juga amat memahami dengan situasi dan rasa fobia yang dia alami.
Bukan itu sahaja, dengan tidak mempunyai lesen memandu juga membuatkan Anzalna sukar menerima tawaran berlakon di luar kawasan Kuala Lumpur.
“Mujurlah ada keluarga dan teman lelaki yang memahami situasi saya. Merekalah yang akan menemani ke mana jua saya pergi.
“Oleh kerana tidak ada lesen, saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang menjalankan penggambaran di luar Kuala lumpur,” katanya.
Namun, Anzalna tekad untuk menjalani latihan memandu kereta sekali lagi kerana memikirkan dia perlu untuk berdikari dan tidak mahu untuk menyusahkan kekasih dan keluarganya lagi.
“Oleh sebab itu, baru-baru ini saya mengambil keputusan berdaftar untuk mengambil kelas memandu untuk memudahkan segala urusan yang akan datang,” kata Anzalna. – MyNewsHub

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story