gambar hiasan |
ALOR SETAR 3 Okt. - Mulai tahun depan, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menguatkuasakan sepenuhnya garis panduan pemasangan papan iklan di kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model iklan.
Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah model dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika model itu beragama Islam, dia perlulah menutup aurat.
Datuk Bandar MBAS Mat Noh Ahmad berkata pihak MBAS sedang membuat operasi di setiap papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh MBAS.
"Terdapat rungutan daripada orang ramai tentang penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan yang tidak memenuhi standard dan bagi menangani isu itu, kami akan menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Papan Iklan yang dijalankan secara berkala.
"MBAS turut akan menitikberatkan gambar model yang dipaparkan pada papan iklan itu," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata bagi mereka yang ingin membuat iklan di papan iklan perlulah mengikut syarat yang telah ditetapkan MBAS dengan mengemukakan permohonan ke Bahagian Kesihatan Awam, MBAS.
"Sekiranya mereka membina papan iklan secara haram, tindakan kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan dan kami juga akan menurunkan papan iklan itu," katanya.
Mat Noh berkata pada awal tahun hadapan MBAS akan menyeragamkan papan-papan iklan dari segi saiz papan iklan dan memastikan bahagian landskap tersusun rapi bagi mengindahkan kawasan papan iklan itu.
Beliau berkata MBAS tidak akan meluluskan sebarang papan iklan untuk pemilik yang ingin mengiklankan mengenai pusat hiburan atau premis judi. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment