Nik Noraida menemani Aisy di HRPZ II, ketika menerima rawatan semalam.
KOTA BHARU - “Ma! Sakit Ma !” Begitulah rengekan kanak-kanak berusia tiga tahun yang mengerang kesakitan hampir setengah jam, selepas tangannya hancur sehingga ke bahu, akibat tersepit di dalam mesin pemerah santan di Kok Lanas, dekat sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Aisy Mirza Mahadi, memasukkan tangannya ke dalam mesin terbabit yang masih berfungsi selepas dipercayai lupa ditutup ibunya yang melakukan kerja-kerja pembersihan alat itu.
Akibat kejadian berkenaan, mangsa terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan.
Menurut ibu mangsa, Nik Noraida, anak tunggalnya itu sering dibawa ke tempat kerjanya di kedai terbabit dan ada kalanya ditinggalkan bersama ibunya (nenek Aisy) di rumah.
“Dia (Aisy) tidak banyak kerenah dan tidak pernah mengganggu saya ketika melakukan kerja-kerja di dalam kedai, jadi saya selalu bawa dia, lagipun suami, Mahadi Mustapa, 29, juga bekerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai juru kimpal.
“Namun kejadian semalam (kelmarin), amat mengejutkan saya kerana hampir seluruh tangannya terlekat dalam mesin itu yang menyebabkan isi dan tulang tangannya tersembul keluar dan darah mengalir pekat,” katanya menceritakan saat cemas selepas tangan anaknya hancur tersepit dalam mesin terbabit.
Nik Noraida berkata, walaupun cemas melihat keadaan anaknya itu, dia terus merangkul tubuh Aisy dan membalut tangan anaknya menggunakan tuala bagi memberhentikan pendarahan.
“Saya bertindak nekad menyelamatkan Aisy yang ketika itu agak lemah kerana kehilangan banyak darah, dan berusaha membawa anak ke klinik Kesihatan Ketereh dan kemudiannya, dia dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan," katanya.
Kejadian berlaku sekelip mata, kerana sebelum tangannya tersepit dia bermain di kawasan luar kedai.
“Setakat ini menurut doktor keadaan tangan Aisy agak parah dan mengikut laporan tangannya mungkin tidak dapat berfungsi sepenuhnya selepas ini.
“Apa pun saya harapkan dia berada dalam keadaan selamat dan masih menunggu laporan doktor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.Snr
0 comments:
Post a Comment